Harimau Malaya tak gentar, janji aksi terbaik
PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon tetap positif walaupun berdepan cabaran sukar selepas diundi dalam Kumpulan E bersama Korea Selatan, Jordan dan Bahrain dalam kejohanan Piala Asia di Doha, Qatar dari 12 Januari hingga 10 Februari tahun depan.
Menurutnya, Harimau Malaya berjanji akan memberikan aksi terbaik bersaing dengan kesemua pasukan gergasi Asia tersebut.
"Kumpulan yang sukar. Korea Selatan adalah salah satu pasukan yang terbaik. Tetapi, kami akan cuba yang terbaik bersaing dengan mereka dan memberikan kebangaan kepada rakyat Malaysia," katanya.
Untuk rekod, Korea Selatan mengakhiri saingan Piala Asia edisi lalu di pusingan suku akhir manakala, Jordan dan Bahrain berjaya mara ke pusingan 16 pasukan terbaik.
Berdasarkan kemampuan semasa semua pasukan dalam Kumpulan E, Harimau Malaya sudah tentu berdepan tugas sukar dalam usaha mencipta kejutan melepasi peringkat kumpulan pada penampilan kali ini.
Sebelum ini, skuad negara mencipta sensasi apabila menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia secara merit pada Jun tahun lalu.
Kali terakhir Malaysia layak secara merit ke Piala Asia pada 1980 dan skuad Harimau Malaya pernah beraksi di pusingan akhir Piala Asia pada 2007, namun ketika itu mendapat tiket selaku tuan rumah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!