Pas, Bersatu kahwin muta'ah, tunggu retak jadi belah - Zahid

Ahmad Zahid ketika tiba di Menara Dato' Onn, WTCKL sempena Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-77.
Ahmad Zahid ketika tiba di Menara Dato' Onn, WTCKL sempena Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-77.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjangkakan gabungan Perikatan Nasional (PN) khususnya antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan bertahan lama, dengan menyifatkan hubungan kedua-duanya sebagai kahwin muta'ah.

"Kita mendengar bahawa 'perkahwinan muta'ah' (kontrak/sementara) politik itu pasti dalam bentuk sementara.

"Kita tunggulah apabila retak menjadi belah," katanya ketika ditemui selepas Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-77 di Surau Ar Rahman, Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis.

Sementara itu, Ahmad Zahid menegaskan bahawa UMNO memainkan peranan penting terutama dalam menyatukan pelbagai pertubuhan lebih tujuh dekad lalu.

"77 tahun lalu, pada tarikh yang sama, UMNO menyatukan pelbagai pertubuhan bukan untung. Jangan lupa sejarahnya," kata Ahmad Zahid.

Menurutnya, dalam tempoh itu, UMNO berdepan pelbagai fitnah yang berusaha menjatuhkan parti itu, namun beliau meminta semua ahli parti Melayu terus mempercayai bahawa UMNO masih lagi relevan.

"Semangat nasionalisme tidak ditiupkan oleh jalanan, tetapi oleh istana. Di WTC ini kita berkumpul, tetapi dalam tujuh dekad ini, kita telah bergerak dalam pelbagai gelombang.

"UMNO berdepan pelbagai fitnah sehingga kita terperangkap dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Namun UMNO masih relevan," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa semua sayap dalam UMNO agar bersama-sama membina semula parti itu.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, UMNO mesti mencorakkan parti di mana generasi baharu akan bangkit dan melakukan perubahan.

“Puteri, Pemuda, Wanita atau kita yang menjadi kumpulan veteran, kita mesti bersama-sama.

"Kita menghormati yang lama tetapi kita menyayangi yang baharu.

"Saya harap generasi baharu Pemuda, Puteri, Wanita bersedia dari sekarang, jangan lagi menggunakan kaedah konvensional," ujarnya.

Sambutan Ulang Tahun ke-77 UMNO itu dimulakan dengan solat Maghrib dan bacaan surah Yasin.

Antara pemimpin UMNO yang turut hadir adalah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohammad Hassan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!