Andre gembira emas lompat kijang kekal milik Malaysia

Andre
Andre
A
A
A

ATLET lompat kijang negara, Andre Anura Anuar tetap berjaya mempertahankan emas lompat kijang lelaki pada Sukan SEA 2023, walaupun baru sahaja pulih daripada kecederaan tumit, baru-baru ini.

Andre berjaya melakukan catatan sejauh 16.06 meter (m) pada percubaan kelima, sekali gus mengesahkan emas kedua berturut-turutnya dalam acara berkenaan pada aksi di Stadium Nasional Morodok Techo.

Pingat perak dimenangi wakil Filipina, Ronnie Auxilio Mapilay (15.74m) dan rakan sepasukannya, Mark Harry Aloto Diones pula merangkul gangsa (15.70m).

Atlet dari Sabah itu mengakui lega apabila dapat juga memenangi emas biarpun baru sahaja mula melompat semalam selepas menjalani proses pemulihan susulan kecederaan dialaminya dua minggu lepas.

"Hampir dua minggu saya tak lakukan sebarang teknik lompatan dan terpaksa berehat seketika untuk pulihkan tumit saya, sedikit tekanan bagi saya tapi bukan daripada lawan namun cabaran untuk lawan kecederaan.

"Sebelum ini hanya jalani latihan di gimnasium namun semalam baru mula lompat untuk ambil feel dan dapat rentak sebelum bersaing hari ini," katanya kepada pemberita di Phnom Penh pada Khamis.

Biarpun tidak berjaya melunaskan misi meleburkan rekod dipegang Muhammad Hakimi Ismail, 16.77m, dilakukan pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, namun Andre tetap gembira dapat memastikan emas acara lompat kijang kekal di pangkuan Malaysia sejak 2015 di Singapura.

Seorang lagi wakil negara Muhammad Izzul Haniff Mohd Raffi sekadar menamatkan saingan di kedudukan ketujuh dengan lompatan sejauh 15.38m.

Bagi aksi balapan pula, Wan Muhammad Fazri Wan Zahari berjaya menyumbang gangsa 800m lelaki menerusi catatan 1 minit dan 53.86 saat (s) di belakang pemenang emas yang juga atlet tuan rumah, Chhun Bunthorn (1:52.91s) dan perak diraih Duc Phuoc Luong dari Vietnam (1:53.34s).

Kategori wanita pula menyaksikan dua atlet negara, Savinder KaurJogindr Singh (2:15.77s) dan Hizillawanty Jamain (2:16.92s) masing-masing menamatkan saingan di tempat keenam dan ketujuh.

Emas disambar atlet Vietnam Nguyen Thi Thu Ha (2:08.55s) diikuti seorang lagi wakil negaranya, Thi Ngan Bui (2:08.96s) yang meraih perak dan gangsa dimiliki atlet Singapura Chui Ling Goh (2:09.15s). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!