'Memang saya kecewa' - Ahmad Jais

Skuad sepak takraw negara gagal mengambil peluang memenangi saingan setelah mendahului satu perlawanan menerusi regu pertama. - FOTO: PSM
Skuad sepak takraw negara gagal mengambil peluang memenangi saingan setelah mendahului satu perlawanan menerusi regu pertama. - FOTO: PSM
A
A
A

SKUAD sepak takraw negara terus kempunan untuk merangkul pingat emas acara regu berpasukan lelaki pada Sukan SEA 2023 selepas tumpas 1-2 kepada musuh tradisi, Thailand di Dewan Bola Keranjang NSTC di Phnom Penh, pada Khamis.

Malaysia bermula cemerlang pada aksi pembukaan pusingan round robin itu apabila regu diperkuatkan Amirul Zazwan Amir, Mohamad Azlan Alias dan Mohammad Syahir Mohd Rosdi menang 13-21, 21-17, 21-18 ke atas gandingan Thailand Jirasak Pakbuangoen, Kritsanapong Nontakote dan Yodsawat Uthaijaronsri.

Kemenangan itu, bagaimanapun gagal diteruskan regu kedua dibarisi Aidil Aiman Azwawi, Meor Mohamad Zulfikar Mat Amin dan Muhammad Afiffudin Mohd Razali yang tumpas 25-24, 15-21, 14-21 kepada regu Thailand Pattarapong Yupadee, Phutawan Sopa dan Siriwat Sakna.

Usaha regu ketiga negara, Muhammad Haziq Hairul Nizam, Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Norfaizzul Abd Razak untuk memberikan mata kemenangan tidak kesampaian apabila kecundang 8-21, 12-21 kepada gandingan Thailand dibarisi Pornthep Tinbangbon, Rachan Viphan dan Thawisak Thongsai.

Berikutan kekalahan itu, skuad negara tiada pilihan selain perlu mencatat kemenangan ke atas tuan rumah, Kemboja untuk meraih pingat perak.

Mengikut format pertandingan, pasukan teratas dalam saingan round robin itu akan merangkul pingat emas, manakala pasukan di tempat kedua dan ketiga masing-masing meraih perak dan gangsa.

Pengurus pasukan skuad sepak takraw negara Ahmad Jais Baharun mengakui kecewa skuad negara gagal mengambil peluang memenangi saingan tersebut setelah mendahului satu perlawanan menerusi regu pertama.

"Berdasarkan prestasi semasa, regu kedua adalah yang terbaik semasa latihan di Bukit Jalil tetapi mereka tidak dapat menunjukkan prestasi sebenar. Memang saya kecewa.

"Pemain pun tahu pentas Sukan SEA ini diambil kira untuk memilih pemain ke Sukan Asia (di Hangzhou, China pada September ini). Kalau mereka tidak menunjukkan prestasi baik, kita akan beri peluang kepada pemain lain yang tidak disenaraikan ke sini. Kita mahu yang benar-benar terbaik," katanya.

Ahmad Jais seterusnya berharap pemain negara dapat meningkatkan prestasi mereka dalam acara antara regu dan double selepas ini.

Dalam pada itu, skuad wanita negara tumpas 0-3 kepada Laos dalam aksi pembukaan acara double berpasukan sebelum mencatat kemenangan percuma ke atas Timor Leste. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!