Anugerah MyHero beri penghormatan individu berani

Orang ramai yang mahu menghantar nama-nama calon berserta ringkasan sumbangan hendaklah dibuat sebelum 31 Mei ini.
Orang ramai yang mahu menghantar nama-nama calon berserta ringkasan sumbangan hendaklah dibuat sebelum 31 Mei ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCCCI), mengadakan Anugerah MyHero buat kali keempat untuk memberi penghormatan kepada mana-mana individu yang memiliki keberanian juga keazaman dalam menggalakkan perpaduan negara serta keharmonian kaum.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Negara KLSCCCI, Datuk Richard Lau Chi Chiang berkata, tujuan lain Anugerah MyHero 4.0 itu dibuat adalah untuk membantu orang ramai dalam membalas jasa ‘hero’ yang menghulurkan sumbangan tanpa mengharapkan balasan.

“Saya pasti ramai dalam kalangan kita menerima bantuan daripada insan yang tidak mempedulikan kaum atau agama seseorang itu sewaktu memberi pertolongan.

“Sikap yang ditonjolkan oleh individu tersebut wajar diberi penghargaan kerana mereka telah menunjukkan sikap saling menghormati dan berjaya mewujudkan masyarakat penyayang,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Chi Chiang turut menyifatkan individu yang memberi bantuan tanpa mengira latar belakang seseorang adalah ‘wira’ dan ‘wirawati’ sebenar.

Pada masa sama, beliau berharap agar pencalonan nama-nama bakal penerima Anugerah MyHero 4.0 adalah dari seluruh Malaysia.

“Saya mengharapkan pencalonan penerima anugerah ini bukan sahaja dari Semenanjung Malaysia tetapi juga mahu ada wakil dari Sabah dan Serawak.

“Bukan itu sahaja, KLSCCCI seboleh-bolehnya mahu menyampaikan anugerah tersebut kepada individu yang tidak mempunyai pangkat dan pengaruh besar supaya dapat mengetengahkan usaha murni yang mereka lakukan untuk komuniti,” jelasnya.

Sementara itu, Chi Chiang memaklumkan bahawa anugerah itu mempunyai dua kategori iaitu dewasa (berumur 19 tahun ke atas) dan remaja (berumur 19 tahun dan ke bawah).

Tambah beliau, pihak KLSCCCI turut berharap pencalonan daripada kedua-dua kategori mendapat sambutan yang menggalakkan.

Ujarnya lagi, orang ramai yang mahu mencalonkan mana-mana individu hendaklah memenuhi kelayakan yang ditetapkan seperti memiliki kewarganegaraan Malaysia, menjadi saksi atau terlibat dengan sumbangan.

Orang ramai yang mahu menyertai anugerah itu hendaklah menyerahkan ringkasan sumbangan calon seperti tarikh, masa, lokasi dan gambar kepada penganjur sebelum 31 Mei ini.

Untuk maklumat lanjut boleh layari www.myhero.chinesechamber.org.my.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!