'Separuh beri pada Anwar jika terbukti saya ada RM1 bilion'
JITRA - Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuktikan dakwaan beliau memiliki sejumlah wang seperti yang didakwa Perdana Menteri ke-10 itu.
Bahkan, bekas Perdana Menteri sebanyak dua kali itu secara berseloroh berkata, sekiranya Anwar mampu berbuat demikian, separuh daripada wang berkenaan akan diberikan kepada Ahli Parlimen Tambun itu.
"(Atas) sebab (tuduhan) itu, saya cabar Anwar, kalau (dia dapat) jumpa RM1 bilion (yang dikatakan) duit (yang ada kepada) saya, saya (akan) bagi dia separuh (daripada amaun itu).
"(Berkaitan) bekas pemimpin (yang didakwa kaut keuntungan), dia cabar buat apa, dulu dia 'ex-Malay leader' juga, (saya rasa) dia patut isytihar dia punya harta dahulu... bagi contoh dan dia bagi (cabaran itu) kepada semua orang.
"(Paling utama ketika ini) beliau tidak payah suruh orang lain, jawab (dan buktikan dahulu) tuduhan kononnya saya ada berbilion (ringgit), (Datuk Seri) Mukhriz (Mahathir) ada berbilion, ada jet dan sebagainya, tunjuk (kepada umum)," kata Dr Mahathir membidas Anwar.
Dr Mahathir berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Pertubuhan Prihatin Kubang Pasu di Kampung Naga, di sini malam Khamis.
Pada 6 Mei lalu, Anwar mencabar bekas pemimpin dan pembesar yang mendapat keuntungan ketika era pemerintahan mereka untuk berkongsi kekayaan dengan orang Melayu yang lain.
Jelas Anwar, ini kerana pemimpin-pemimpin berkenaan dilihat hanya mengaut keuntungan untuk diri sendiri dan keluarga ketika pentadbiran masing-masing.
Namun, apabila mereka tidak lagi berkuasa, isu membabitkan penyatuan serta kekuatan orang Melayu baru dibangkitkan dan diperjuangkan individu berkenaan. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!