Ringgit rendah berbanding dolar AS pada sesi awal
RINGGIT dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal dagangan pada Jumaat ketika dolar tersebut kekal kukuh susulan pengumuman Indeks Harga Pengguna (IHP) negara itu.
Pada jam 9 pagi, ringgit susut kepada 4.4735/4790 berbanding dolar AS daripada 4.4615/4665, semalam.
Peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues berkata IHP adalah satu mekanisme pengukur inflasi pada permulaan rantaian pengeluaran dan turut digunakan untuk mengukur inflasi pengguna akhir.
"Data hari ini menunjukkan inflasi +0.2 peratus pada April yang boleh meningkatkan inflasi keseluruhan pada bulan-bulan akan datang.
"Susulan peningkatan inflasi itu, pelabur menjangkakan Rizab Persekutuan AS (Fed) akan bertindak menaikkan kadar faedah bagi mengekang kenaikan harga yang sekali gus akan memacu pengukuhan dolar,” katanya kepada Bernama.
Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata IHP AS pada April mencatat 2.3 peratus selepas kenaikan 2.7 peratus pada Mac manakala IHP teras pada 3.2 peratus daripada 3.4 peratus, sebelum ini.
"Ia adalah aliran sama seperti IHP yang menunjukkan keadaan itu terus ketara. Risiko mengelak risiko juga dapat dilihat yang menjadikan gandingan dolar AS/ringgit mungkin kekal melebihi paras RM4.46 susulan pengukuhan permintaan terhadap dolar AS,” katanya.
Beliau juga menyifatkan pengumuman data keluaran dalam negara kasar suku pertama 2023 bagi Malaysia hari ini akan turut menjadi tumpuan ramai bagi mendapatkan petunjuk mengenai hala tuju pasaran.
"Kami mengunjurkan pertumbuhan sebanyak 5.5 peratus dengan permintaan domestik menjadi pemacu utamanya," katanya.
Selain itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama.
Ringgit susut berbanding euro kepada 4.8851/8911 daripada 4.8751/8805 pada Khamis dan rendah berbanding yen Jepun kepada 3.3250/3294 daripada 3.3122/3161 namun mengukuh berbanding pound Britain pada 5.5990/6059 daripada 5.6161/6224.
Dalam pada itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asean.
Unit tempatan itu meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.2176/2413 daripada 13.2283/2482; susut berbanding rupiah Indonesia kepada 3.8/304.4 daripada 302.9/303.5 dan rendah pada 3.3608/3651 berbanding dolar Singapura daripada 3.3588/3628 semalam.
Ringgit tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.00/8.02 daripada 8.00/8.01.
-- BERNAMA
TAG: ringgit, sesi awal, Mohd Afzanizam, Fed, inflasi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!