Jangan cetus spekulasi kes TikTokers dengan jiran - Polis
KUANTAN - Polis Daerah Maran meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu aduan halangan kacau ganggu yang tular melibatkan seorang TikToker dan jirannya di Taman Teras Indah, Maran.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintenden Norzamri Abd Rahman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian dan telah memanggil TikToker wanita itu bagi tujuan siasatan.
Menurutnya, ia prosedur biasa apabila laporan diterima selepas surat daripada Majlis Daerah Maran yang memintanya hadir untuk berbincang bagi menyelesaikan permasalahan dengan jirannya itu yang ditularkan.
"Kita minta orang ramai tidak membuat spekulasi tentang kejadian ini bagi mengelak salah faham dalam kalangan masyarakat," katanya melalui satu kenyataan pada Jumaat.
Norzamri berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berhubung ketidakpuasan terhadap sesuatu isu perlu menggunakan saluran yang sepatutnya dan bukan terus ditularkan di media sosial.
Sebelum ini, seorang pengguna TikTok berkongsi rakaman video kejadian kemalangan kecil antara kenderaan dipandu dengan kereta milik jiran yang diparkir di tepi jalan di hadapan kediaman mereka.
Kejadian yang dipercayai berlaku pada 29 April lalu dikatakan punca kepada masalah itu yang didakwa terus berlanjutan hingga dia dipanggil pihak polis.
Kronologi kejadian turut dikongsi wanita tersebut di sebuah akaun Facebook bagi menjelaskan situasi yang berlaku.
Menurut wanita itu, susulan kejadian, jirannya tidak berpuas hati lalu membuat laporan polis.
Mereka membuat laporan polis tentang insiden tersebut dan kedua-duanya telah disaman.
Pada 2 Mei lalu, TikToker tersebut membuat aduan kepada Majlis Daerah Maran untuk menyelesaikan masalah jiran parkir kereta di tepi jalan dan menanam pokok yang didakwa telah menimbulkan kacau ganggu.
Pihak majlis dikatakan datang membuat tinjauan di lokasi dan telah menyerahkan surat untuk hadir pada sesi perjumpaan bagi berbincang untuk menyelesaikan kes tersebut.
Beberapa hari kemudian, wanita itu mendakwa ada membuat panggilan kepada majlis untuk tindakan susulan namun tiada jawapan kerana pegawai terlibat bercuti.
Sehinggalah pada 9 Mei lalu dia mendakwa menerima panggilan daripada pihak polis untuk siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!