Semangat anak Iban sertai PDRM
KUALA LUMPUR - "Orang lain mampu nak buat, kenapa saya tidak boleh," itu semangat yang dilontar pelatih terbaik keseluruhan Sarjan Alecstew Anak Tan, 27.
Alecstew yang berketurunan Iban dan berasal dari Sibu, Sarawak itu menyatakan kesungguhannya untuk menjadi anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terbaik.
Menurut anak kedua daripada tiga beradik ini, ibunya, Sato Anak Banat, 57, merupakan pendorong utama untuk melibatkan diri dalam pasukan beruniform.
"Selain minat dengan polis sejak kecil, ibu selalu kata 'kerja baik-baik, bila jadi polis nanti, bantu orang, bagi sesuatu kepada masyarakat' "
"Jika terus diberi kekuatan, saya mahu menyertai pasukan Komando atau Unit Tindakan Khas (UTK) kerana cabaran yang besar dalam pasukan itu," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan Kadet Sarjan Bilangan 2 Siri 2/2018, di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini, hari ini.
Hadir menyempurnakan dan menyerahkan sijil tamat latihan, Timbalan Pengarah Cawangan Khas 1, Datuk Mohd Haniff Hanuddin.
Alecstew memulakan tugas sebagai anggota polis di Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 di Kuantan, Pahang dengan pangkat Konstabel Sokongan pada November 2016 sebelum melanjutkan latihan di Pulapol, tahun ini.
Memiliki pendidikan diploma dan sarjana muda dalam bidang Sains Sukan dari Universiti Teknologi Mara (UITM) Kota Samarahan, Sarawak membuktikan dirinya terus bersemangat untuk mengejar cita-cita di peringkat tertinggi PDRM.
Bagi pelatih terbaik latihan luar, Sarjan Aznor Zainal, 26, pula, inspirasi bapanya yang merupakan pesara tentera menjadi pemangkin kesungguhannya untuk melibatkan diri dalam pasukan polis.
Memulakan tugas pada tahun 2015 di Bahagian Hal Ehwal Pesara Bukit Aman dengan pangkat Konstabel Sokongan terus meyakinkan dirinya untuk meneruskan latihan dalam pasukan.
"Saya anak keempat daripada enam beradik. Bapa adalah pendorong utama saya dan sering berpesan untuk terus berusaha. Usaha untuk berjaya seperti orang lain," katanya.
Sementara itu, bagi pelatih terbaik akademik, Sarjan Nurul Shuhada Aziz, 31, beliau yang berasal dari Kuala Terengganu, Terengganu itu menyatakan impiannya untuk menjadi seorang yang bertanggungjawab, amanah dan maju dalam pasukan polis.
"Ini adalah satu amanat. Saya akan laksanakan tugas dengan baik kerana ini adalah minat saya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!