[VIDEO] 3 lelaki dipenjara sebab simbah cat merah, beri notis ugutan

Ameerul Ridhuan (tiga dari kiri), Mohd Lutfi dan Mohd Rusdy diiringi polis sebaik tiba di mahkamah.
Ameerul Ridhuan (tiga dari kiri), Mohd Lutfi dan Mohd Rusdy diiringi polis sebaik tiba di mahkamah.
A
A
A

SEREMBAN - Tiga lelaki termasuk dua beradik dihukum penjara selama 26 hari selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan menyimbah cat berwarna merah dan memberi notis berunsur ugutan di rumah dua wanita bulan lalu.

Hakim, Norshila Kamaruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Ameerul Ridhuan Shamsudin, 29, yang bekerja sendiri, Mohd Lutfi Laily, 31, bekerja sebagai penghantar makanan dan Mohd Rusdy Safuan Laily, 29, tidak bekerja selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Beliau turut berpesan kepada kesemua tertuduh supaya tidak lagi melakukan kesalahan itu.

"Jangan nak ugut-ugut lagi. Dah insaf ke belum?" soalnya.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh sebagai wakil pemberi pinjaman tanpa lesen didapati telah mengganggu peminjam wang iaitu seorang wanita berusia 41 tahun dengan menyimbah cat berwarna merah di pekarangan rumah dan pagar rumah mangsa serta memberikan notis berunsur ugutan 'ini peringatan pertama hutang wang, bayar wang. Jika awak orang masih tak nak selesaikan hutang, new year saya buat teruk'.

Kesalahan itu dilakukan pada 22 April 2023, jam lebih kurang 5.42 pagi di sebuah rumah di Taman Pinggiran Golf di Seremban.

Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29B(1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan hukuman Seksyen 29B(1) Akta Pemberi Pinjam Wang.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Sekiranya ia kesalahan kedua atau berturutan, akan dikenakan sebatan.

Mengikut pertuduhan kedua, mereka turut melakukan kesalahan sama di rumah seorang wanita berusia 52 tahun dengan memberikan notis berunsur ugutan 'jangan cat kami tukar jadi petrol'.

Kesalahan itu dilakukan pada 22 April 2023 jam lebih kurang 5.30 pagi di Taman Paroi Jaya di Seremban.

Kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu diberi hukuman ringan kerana masing-masing perlu menjaga ibu yang sedang sakit selain mengaku sudah insaf.

Timbalan Pendakwa Raya, M Kalaivaanan mohon hukuman berat terhadap kesemua tertuduh yang dapat memberi pengajaran dengan mengambil kira kepentingan awam lebih daripada kepentingan peribadi.

Katanya, ia juga sebagai mesej jelas kepada orang lain agar tidak melakukan kesalahan sama.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman 12 hari penjara bagi pertuduhan pertama dan 14 hari penjara bagi pertuduhan kedua serta tertuduh diminta tidak berhubung lagi dengan pengadu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!