Serangan harimau: Orang Asli tangguh aktiviti ke hutan

Lebih 100 keluarga Orang Asli suku kaum Bateq masih ketakutan dan dalam fasa berjaga-jaga untuk meneruskan aktiviti mencari hasil hutan berikutan kehilangan seorang lelaki dari perkampungan mereka yang didakwa diserang harimau Selasa lalu di Kampung Aring 5 di sini. - Foto Bernama

A
A
A

GUA MUSANG - Lebih 100 keluarga Orang Asli suku kaum Bateq di Kampung Aring 5, di sini, masih ketakutan dan dalam fasa berjaga-jaga untuk meneruskan aktiviti mencari hasil hutan berikutan kehilangan seorang lelaki dari perkampungan mereka yang didakwa diserang harimau, Selasa lepas.

Hasil tinjauan mendapati mereka bukan sahaja berada di kawasan rumah dan mengawal pergerakan serta aktiviti anak-anak untuk tidak bermain di kawasan hutan, bahkan juga mengelak daripada berada di kawasan sungai di pinggir hutan untuk mandi.

Penduduk Ana Daun, 26, berkata, dia bersama keluarganya kini berada di rumah dan tidak akan sesekali ke kawasan hutan yang menjadi rutin mereka untuk mandi di sungai tiga kali setiap hari sebelum ini.

"Ibu bapa di kampung ini memastikan anak-anak sentiasa bermain di kawasan rumah sahaja kerana takut dengan kisah kehilangan Halim (mangsa) yang telah dibaham seekor harimau ketika memancing.

"Kami sanggup berkurung di sini sehingga perasaan takut hilang. Biasanya ada penduduk kampung dan anak-anak mandi di sungai tetapi sekarang sudah tidak berani lagi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, di sini.

Zulkifli Samad, 23, yang turut senada berkata kebanyakan penduduk yang kerap ke hutan mencari madu tualang dan pokok gaharu sebagai sumber ekonomi mereka terpaksa menangguhkan aktiviti berkenaan ketika ini.

"Kebiasaannya kami hanya jumpa tapak haiwan liar seperti harimau di dalam hutan, namun tidak pernah terserempak secara berdepan. Rasanya eloklah kami tangguh dahulu aktiviti ke kebun kerana bimbang dengan keselamatan dan nyawa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintenden Sik Choon Foo menasihatkan agar penduduk Orang Asli di penempatan itu bergerak dalam kumpulan yang besar jika ke hutan untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Timbalan Ketua Polis Gua Musang, Deputi Superintenden Azmi Mokhtar (kiri) memberi minuman kepada penduduk Orang Asli sambil menyantuni keluarga mangsa yang hilang ketika memancing di hulu sungai Selasa lalu di penempatan mereka di Kampung Aring 5, di sini. - Foto Bernama

"Pihak polis berharap tiada sebarang spekulasi tentang mangsa telah dibaham harimau sehinggalah pihak polis mendapat petunjuk yang sebenarnya,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Halim Asin, 27, hilang ketika memancing bersama anak saudaranya Alang Kuang, 8, di Sungai Aring 5, dikhuatiri menjadi mangsa serangan harimau. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!