KTMB tawar 4.4 juta tiket tempoh Julai hingga Disember 2023

Promosi ditawarkan dapat berikan pilihan kepada para pengguna untuk menggunakan perkhidmatan kereta api di samping menjimatkan kos seharian. - Gambar hiasan
Promosi ditawarkan dapat berikan pilihan kepada para pengguna untuk menggunakan perkhidmatan kereta api di samping menjimatkan kos seharian. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan 4.4 juta tiket bagi perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Intercity untuk perjalanan bermula 1 Julai hingga 31 Disember 2023.

KTMB memaklumkan, penjualan bagi tiket dinyatakan akan dibuka mulai Isnin depan pada pukul 10 pagi.

"Sebanyak 1.8 juta tiket ditawarkan untuk perkhidmatan ETS manakala 2.6 juta tiket untuk perkhidmatan KTM Intercity bagi tempoh tersebut.

"Selain itu, KTMB turut menawarkan dua perkhidmatan ETS tambahan bagi laluan KL Sentral ke Padang Besar (Perlis) dan sebaliknya bagi perjalanan bermula 26 Mei hingga 5 Jun ini sempena cuti sekolah penggal pertama dan cuti umum," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Dalam pada itu KTMB turut memaklumkan, pihaknya akan memperkenalkan tambang promosi maksimum RM10 bagi laluan antara Stesen Sungai Petani (Kedah) ke Steen Padang Besar menggunakan kod promosi ETSBERBALOI bagi tren ETS Platinum dan ETSBERBALOIGOLD untuk tren ETS Gold (Gemas - Padang Besar).

Bagi laluan Gemas - KL Sentral - Gemas pula, sebanyak 50 peratus diskaun perjalanan ditawarkan dengan menggunakan kod promosi JIMATGEMAS melibatkan tren ETS EG9321, EG9322, EG9420 dan EG9425.

"Tempoh promosi ini bermula 15 Mei hingga 31 Disember 2023 dan hanya boleh dibeli dalam tempoh 24 jam sebelum tren berlepas melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS), kaunter tiket, kiosk atau di laman sesawang KTMB.

"Promosi yang ditawarkan dapat memberikan pilihan kepada para pengguna untuk menggunakan perkhidmatan kereta api di samping menjimatkan kos seharian.

"Orang ramai juga dinasihatkan agar mendapatkan tiket lebih awal bagi menikmati kadar tambang yang lebih rendah dan jimat," katanya.

Orang ramai boleh layari laman sesawang rasmi www.ktmb.com.my atau hubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-2267 1200 untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!