Ibu Menteri Besar Perak selamat dikebumi
IPOH - Ibu kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kepayang, Fair Park, di sini, hari ini.
Jenazah Datin Zaliha Nordin, 79, selamat dikebumikan kira-kira jam 11 pagi dengan dihadiri lebih 2,000 orang.
Solat jenazah diimamkan sendiri oleh Ahmad Faizal di Masjid Al-Khairiah di sini, sebelum mengusung jenazah ibunya sejauh 200 meter ke tanah perkuburan berhampiran.
Allahyarhamah disemadikan di sebelah pusara suaminya, Datuk Azumu Tak dan talkin dibacakan oleh Imam Besar Masjid Negeri, Abdul Farid Salleh.
Hadir sama, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria; Ketua Pembangkang, Datuk Saarani Mohamad dan Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain.
Semalam, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa turut berangkat bagi memberi penghormatan terakhir terhadap Allahyarhamah.
Beberapa kepimpinan kerajaan negeri termasuk ketua-ketua jabatan serta orang awam turut hadir ke Kediaman Rasmi Menteri Besar.
Zaliha telah menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga di Kampung Sungai Rokam pada jam 7.25 malam, semalam, akibat sakit tua.
Allahyarhamah meninggalkan lapan orang anak dan Ahmad Faizal adalah anak ketujuh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!