Anak lari, ibu diugut along
IPOH - Seorang pembantu perubatan di sebuah klinik di sini hidup dalam ketakutan selepas diganggu samseng upahan ceti haram atau along selepas anaknya gagal melunaskan pinjaman.
Wanita berusia 54 tahun yang mahu dikenali sebagai Khong berkata, anak lelakinya berusia 31 tahun itu turut melarikan diri dari rumah bagi mengelak dikesan along.
Menurutnya, menerusi panggilan telefon dan kiriman mesej diterima sejak seminggu lalu, mereka mengugut mahu membakar kediamannya di Pengkalan dekat sini.
"Mereka beritahu anak saya tidak membayar (pinjaman) dan sebarang perkara dia lakukan, saya yang perlu bertanggungjawab.
"Setiap hari mereka ugut mahu bakar dan lempar najis ke rumah. Keadaan ini buat saya rasa takut dan tertekan hingga tidak dapat lakukan kerja harian," katanya dalam sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Ipoh Timur dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebing Tinggi di sini pada Jumaat.
Khong berkata, anaknya itu telah terjebak dengan pinjaman along sejak lebih 10 tahun lalu dan setiap kali hanya meninggalkan alamat rumah serta nombor telefon bimbitnya untuk dihubungi sekiranya tidak membayar hutang.
Katanya, pernah beberapa kali dia terpaksa membantu melunaskan pinjaman secara ansuran hingga mencecah RM5,000 menggunakan duit gaji yang diperoleh setiap bulan.
"Sekarang saya sudah tiada wang untuk membantunya lagi. Saya juga tidak tahu anak saya berada di mana.
"Saya bimbang kalau-kalau nyawa saya dan suami terus terancam," katanya yang memaklumkan satu laporan polis telah dibuat bagi tujuan keselamatan.
Sementara itu, Pegawai Khas Koordinator DUN Tebing Tinggi, Yeong Seng Hoong berkata, wanita berkenaan datang membuat aduan ke pejabatnya mengenai perkara itu Rabu lalu.
"Kami nasihatkannya untuk membuat laporan polis dan berharap siasatan polis dapat membantu keluarga ini.
"Dalam kes seperti ini, along sepatutnya mencari penghutang dan bukan secara terus mengganggu ahli keluarga," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!