107 operasi bagi banteras penerokaan haram

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang melalui Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang telah melaksanakan 107 operasi melibatkan peruntukan RM1.217 juta bagi membanteras penerokaan haram di Pahang tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan itu digunakan bagi tujuan pemusnahan, penyitaan dan lain-lain usaha pemantauan yang digerakkan secara bersepadu.

Menurutnya, Kerajaan Pahang berjaya membanteras penerokaan tanah secara haram terutamanya dalam Ops Lestari di Cameron Highlands selepas penubuhan Skuad Elit tersebut pada 15 Oktober 2019.

"Skuad Elit ini berperanan melakukan risikan awal dan serbuan ke kawasan yang didapati telah melakukan penerokaan haram.

"Kita serius terhadap usaha-usaha penguatkuasaan bagi memberi tumpang berterusan berterusan terhadap kes-kes yang menyebabkan kehilangan hasil Kerajaan Negeri.

"Bagi menjunjung titah ke bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, (Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah), kita akan terus memperhebatkan lagi aktiviti penguatkuasaan ini agar kelestarian alam sekitar terus terpelihara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini, pada Jumaat.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, Kerajaan Pahang komited dalam usaha pemuliharaan Harimau Malaya dengan mewartakan Rizab Harimau DiRaja Al-Sultan Abdullah seluas 134,183 hektar.

Ujarnya, sebagai permulaan, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telah melaksanakan pewartaan fasa pertama ke atas kawasan Hutan Tadahan Air dan Hutan Perlindungan Tanah di keseluruhan Hutan Simpan Gunung Aais dan Hutan Simpan Gunung Aais Tambahan.

Beliau menambah, pewartaan itu membabitkan tanah seluas 92,649.33 hektar yang dijadikan sebagai Hutan Perlindungan Hidupan Liar melalui Siar Warta, 4 Mei lalu.

"Selebihnya pula, kita akan laksanakan menerusi fasa kedua. Kita seharusnya berbangga kerana rizab ini merupakan yang pertama di Malaysia.

"Kawasan rizab ini akan menjadi salah satu daripada projek karbon kredit di bawah skim Malaysian Forest Fund ke arah meningkatkan usaha-usaha konservasi hutan kita secara kolektif," katanya.

Selain itu, Wan Rosdy berkata, penubuhan Pusat Konservasi Harimau Malaya (MTCC) Negeri Pahang di Lanchang, Temerloh seluas 80 hektar juga membuktikan Kerajaan Negeri Pahang begitu serius dalam melindungi kepupusan Harimau Malaya ini.

Menurutnya, pusat konservasi yang dibina dengan kos RM42.25 juta adalah selaras dengan Kempen Selamatkan Harimau Malaya (SHM) yang sedang digiatkan oleh kerajaan dan mula beroperasi pada 1 Februari tahun lalu.

"Kita seharusnya berbangga kerana Tengku Hassanal adalah seorang putera raja yang begitu prihatin terhadap kepupusan habitat berharga ini," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!