LRT Pulau Pinang: Kementerian, agensi bincang model pembiayaan

Anthony
Anthony
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Pengangkutan (MOT) dan agensi-agensi berkaitan dijangka mengadakan siri mesyuarat pada minggu depan bagi membincangkan model pembiayaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang, menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Bercakap kepada pemberita di luar Persidangan Undang-Undang dan Perniagaan Maritim 2023 ketiga pada Jumaat, beliau berkata, MOF telah memanggil wakil daripada Mass Rapid Transit Corp Sdn Bhd (MRT Corp), MOT dan agensi berkaitan bagi membincangkan perkara tersebut.

Pada minggu lepas, kerajaan Persekutuan mengumumkan kesediaan untuk memberikan dana tambahan bagi mempercepatkan penyiapan projek LRT Pulau Pinang untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di negeri itu.

Projek berkenaan adalah satu daripada komponen utama Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP), dengan laluan LRT dirancang menghubungkan Bayan Lepas dengan persimpangan di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).

Sementara itu, mengulas dakwaan berhubung cadangan untuk melantik Ahli Parlimen Tanjung Piai, Wee Jeck Seng sebagai pengerusi baharu Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB), Anthony menegaskan bahawa kuasa untuk melantik pengerusi KTMB terletak di bawah bidang kuasa MOF.

"Saya tidak menerima sebarang maklumat (berkenaan pelantikan ini). KTMB berada di bawah MOF. Oleh itu, sebarang cadangan akan dibawa kepada kementerian tersebut. Setakat ini, saya masih belum menerima sebarang maklumat berkenaan apa-apa cadangan,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!