Tawaran projek selenggara jalan telus - Roadcare

Wan Imran (kanan) bersama sebahagian kontraktor pada Majlis Penyerahan Notis Pelaksanaan Kerja dan Taklimat Kerja-Kerja Penyelenggaraan Rutin Tahun 2023 Negeri Pahang pada Jumaat.
Wan Imran (kanan) bersama sebahagian kontraktor pada Majlis Penyerahan Notis Pelaksanaan Kerja dan Taklimat Kerja-Kerja Penyelenggaraan Rutin Tahun 2023 Negeri Pahang pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN - Semua projek penyelenggaraan jalan persekutuan ditawarkan konsesi, Roadcare (M) Sdn Bhd (Roadcare) dilakukan secara telus melalui sistem tender terbuka.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Imran Wan Omar berkata, tiada istilah pilih kasih dalam agihan projek kepada kontraktor termasuk di Pahang.

Menurutnya, sistem tender terbuka dilaksanakan pihaknya bukan dikawal dalam Roadcare sebaliknya pemilihan dibuat jawatankuasa terdiri daripada wakil pelbagai bahagian.

"Proses permohonan kerja rutin itu dibuat secara dalam talian oleh kontraktor manakala proses penilaian berdasarkan sebut harga yang paling kompetatif," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Notis Pelaksanaan Kerja dan Taklimat Kerja-Kerja Penyelenggaraan Rutin Tahun 2023 Negeri Pahang di sini pada Jumaat.

Turut hadir Pengurus Besar Operasi Roadcare, Nikifli Nurizan Nik Saad.

Seramai 135 kontraktor di Pahang menerima notis pelaksanaan kerja masing-masing yang bermula 1 Jun tahun ini sehingga 31 Mei 2024.

Wan Imran berkata, kira-kira 400 kontraktor (G1 hingga G4) ditawarkan kontrak penyelenggaraan jalan persekutuan melibatkan empat negeri, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor tahun ini.

Menurutnya, daripada 276 pakej kerja rutin khusus bagi kerja-kerja potong rumput dan cuci longkang yang diagihkan, kira-kira 194 atau 70 peratus daripada keseluruhan yang dipilih terdiri kontraktor kelas F atau G1.

"Peluang itu membuktikan Roadcare tidak meminggirkan golongan itu seperti yang didakwa sesetengah pihak.

"Bagi penyelenggaraan berkala termasuk kerja-kerja tampal dan turapan jalan, kira-kira 80 kontraktor yang berdaftar telah dipilih secara cabutan undi manakala 20 kontraktor bagi kerja-kerja penyelenggaraan bahu jalan dan 30 untuk kerja-kerja lain" katanya.

Tambah beliau, bagi kerja penyelenggaraan rutin, tawaran dibuka kepada kontraktor G1 hingga G4 sahaja bagi memenuhi aspirasi kerajaan berdasarkan kepada arahan Kementerian Kerja Raya dan keutamaan kepada kepada G1 dan G2.

"Secara keseluruhan prestasi kontraktor yang dipilih baik berdasarkan pemantauan harian yang dilakukan di lapangan setiap hari," ujarnya.

Sementara itu, wakil kontraktor, Yusri Yusof berkata, tawaran sebagai sub kontraktor Roadcare itu rezeki bagi kontraktor kecil termasuk dari Pahang untuk kembali bernafas semula.

"Saya berpuas hati dengan proses pemilihan yang dilakukan secara telus melalui tender terbuka selain harga ditawarkan memuaskan.

"Allhamdulillah seramai 135 kontraktor di Pahang ini bertuah kerana terpilih untuk bersama-sama Roadcare dalam membantu menyelenggarakan jalan di negeri ini," katanya.

Beliau berkata, peluang itu satu amanah dan kerja-kerja yang diberikan perlu dilaksanakan sebaik mungkin.

"Melalui mutu kerja yang baik, prestasi yang ditunjukkan akan membuka peluang lebih cerah untuk tawaran pada masa akan datang,"ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!