Muhammad Rafique persoal kreadibiliti Peguam Negara

Muhammad Rafique
Muhammad Rafique
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali mempersoalkan kreadibiliti Peguam Negara susulan beberapa perbicaraan kes mahkamah melibatkan pemimpin politik dan ahli keluarga dalam kerajaan ditangguhkan atas alasan representasi.

Memberi contoh kes mahkamah melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta kes gubahan wang haram dan elak cukai melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor, beliau menegaskan, Peguam Negara seharusnya diberi kuasa penuh dalam memastikan undang-undang dapat ditegakkan secara adil.

"Peguam Negara perlu menghentikan segala spekulasi dan bersuara atau bertindak secara tuntas agar masyarakat menyakini pentadbiran keadilan.

"Selagi mana isu-isu di atas tidak selesai, selagi itulah timbul isu keyakinan pada Peguam Negara. Selagi itulah juga akan timbul persoalan kerajaan mencampuri urusan Peguam Negara kerana keperluan untuk kekal berkuasa,," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Jumaat.

Dalam pada itu Muhammad Rafique berkata, tanggungjawab Peguam Negara adalah menegakkan peraturan perundangan (rule of law) sekali gus memastikan undang-undang dilaksana secara saksama kepada semua dan bukan hanya kepada kerajaan yang berkuasa.

"Peguam Negara adalah peguam kepada rakyat, masyarakat serta 'guardian of public interest' (penjaga kepentingan awam).

"Peguam Negara diberi budi bicara dan kuasa yang luas untuk memastikan undang-undang dilaksana adil kepada semua, tidak hanya pada kerajaan yang berkuasa," ujarnya.

Sebagai rekod, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mengesahkan bahawa Mohd Nazlan telah melanggar Kod Etika Hakim 2009 ketika mengetuai kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd melibatkan Najib.

Sementara itu prosiding hari pertama kes pengubahan wang haram RM7.1 juta dan pengelakkan cukai membabitkan Rosmah yang dijadualkan bermula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat ditangguhkan ke Ogos depan.

Mahkamah Rayuan Putrajaya pula menetapkan 28 Julai depan untuk pengurusan kes bagi rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Presiden UMNO daripada 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!