Nafas sasar kembalikan dividen 10 peratus
PETANG JAYA - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) menyasarkan untuk mengembalikan bayaran dividen Dana Peladang Kebangsaan (DPK) 10 peratus dan ke atas bagi pelabur Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP) untuk tahun mendatang.
Pengerusi Jemaah Pengarahnya, Datuk Zamri Yaakob berkata, tahun ini jumlah dividen yang diagihkan sama seperti beberapa tahun lalu iaitu lapan peratus.
Bagaimanapun katanya, jumlah dividen sama untuk tempoh beberapa tahun itu didorong oleh pelbagai faktor termasuklah kesan pandemik Covid-19.
"Kita harap dapat kembalikan agihan dividen tidak kurang 10 peratus kepada pelabur dan diharap apa yang dihasratkan ini dicapai.
"Nafas dalam masa sama juga berharap lebih ramai ahli peladang turut melabur kerana kalau dilihat dari segi jumlah amat sedikit.
"Kita mempunyai kira-kira 921,000 ahli peladang di seluruh negara tetapi ketika ini hanya kira-kira 13,000 atau kurang daripada satu peratus yang melabur," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Agihan Dividen SPKP - DPK dan Pengumuman Pemenang Kempen Jom Labur dan Menang JomPay Bersama Ambank sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Nafas 2023 di salah sebuah premis acara di sini pada Jumaat.
Terdahulu, Nafas mengumumkan dividen DPK bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 sebanyak lapan peratus untuk Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP).
Nilai keseluruhan agihan dividen itu berjumlah RM10.2 juta melibatkan hampir 8,000 pelabur.
Kadar dividen berkenaan membabitkan enam peratus dividen dan dua peratus bonus untuk pelaburan RM50,000 pertama.
Majlis Pengumuman Agihan Dividen SPKP - DPK itu disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!