KeTSA bentang Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga tahun ini
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga (EECA) dijangka dibentangkan pada tahun ini membolehkan Malaysia mengawal selia kecekapan dan pemuliharaan tenaga, di samping mengurangkan pembaziran dengan memperkasakan pengguna dalam menguruskan penggunaan tenaga.
Perkara itu diumumkan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (KeTSA), Nik Nazmi Nik Ahmad sempena Seminar Hari Hak-hak Pengguna Sedunia, anjuran Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang berlangsung baru-baru ini.
Menurut Nik Nazmi, Suruhanjaya Tenaga akan memastikan sekuriti tenaga di Malaysia akan dikekalkan pada kadar yang optima.
Kerajaan juga akan lebih komited dalam memastikan peralihan tenaga ini tidak membebankan golongan isi rumah yang berpendapatan rendah dan penerimaan dasar yang bersesuaian juga dapat mempercepatkan tenaga boleh diperbaharui.
"Cabaran untuk mengekalkan keseimbangan antara tiga elemen di dalam Energy Trilemma adalah sukar, tetapi perlu dilaksanakan bagi memastikan Malaysia terus berkembang dan maju.
"Di Malaysia, Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) dan Incentive-Based Regulations (IBR) telah dilaksanakan bagi menangani isu peningkatan kos elektrik kepada pengguna.
"ICPT adalah mekanisme yang membolehkan penyelarasan bagi kos bahan api global dan kos penjanaan, manakala IBR menggalakkan syarikat utiliti meningkatkan kecekapan dengan menyediakan insentif untuk mencapai sasaran prestasi tertentu," katanya memetik kenyataan media FOMCA pada Jumaat.
Seminar Hari Hak-hak Pengguna Sedunia mengumpulkan pihak-pihak berkepentingan seperti sektor swasta dan juga sektor awam, masyarakat, persatuan pengguna, pekerja, wanita dan juga golongan belia, bagi membincangkan dan memberi pendapat bagaimana Malaysia boleh mengambil bahagian dalam pelaksanaan peralihan kepada tenaga bersih dengan sumber tenaga boleh diperbaharui.
Salah satu acara utama melalui seminar ini adalah sesi perbincangan yang menampilkan barisan panel yang terdiri daripada KeTSA, Sustainable Energy Development Authority (SEDA), Tenaga Nasional Berhad (TNB), FOMCA dan juga Federation of Malaysian Manufacturers (FMM).
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA, Saravanan Thambirajah berkata, pengguna memainkan peranan penting dalam peralihan tenaga, dan terdapat pelbagai cara yang mudah untuk kita mengurangkan pembaziran tenaga, seperti menutup suis peralatan elektrik sekiranya tidak digunakan.
Katanya, dalam seminar berkenaan, semua ahli panel, sebulat suara bersetuju untuk menyokong usaha kerajaan ke arah peralihan negara kepada sumber tenaga boleh diperbaharui dalam mengurangkan pelepasan karbon di samping memastikan masa depan yang lebih mampan untuk negara.
"Tambahan pula, semua panel menekankan kepentingan memperkasakan pengguna untuk mengurus penggunaan tenaga mereka dengan lebih baik dan sebagai badan kawal selia,haruslah berusaha untuk memberi laluan kepada pengguna untuk menyokong usaha ini.
"Hal ini bukan sahaja dapat membantu dalam mengurangkan penggunaan tenaga secara keseluruhan tetapi juga membawa kepada penjimatan kos untuk isi rumah dan perniagaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!