Tanaman musnah akibat cuaca panas
CUACA panas yang melanda negara turut membelenggu petani-petani kecil sehinggakan golongan itu terpaksa berhadapan dengan pengurangan pendapatan dan kerugian.
Petani Alias Awang, 71, dari Kampung Pak Madah, Terengganu yang mengusahakan tanaman timun berkata, banyak tanamannya rosak dan tidak membesar dengan baik akibat suhu antara 33 hingga 35 darjah celcius.
"Semua tanaman tidak menjadi. Buah timun pun banyak rosak," katanya.
Sementara itu, petani yang mengusahakan tanaman cili dan terung, Mohamad Nazrullah Mohamad Ani, 29, berkata, hasil tanamannya seluas 1.2 hektar itu telah berkurang sebanyak 50 peratus akibat cuaca panas.
Ujarnya, kehangatan bahang itu menyebabkan kualiti buah merosot, hasil tanaman berkurang dan secara tidak langsung meningkatkan serangan serangga perosak.
“Saya berhadapan dengan masalah ini bermula dari Disember tahun lalu sehinggalah penghujung April dan keadaan itu benar-benar memberi kesan kepada pendapatan dan hasil tanaman.
“Sejujurnya saya begitu terkesan kerana pendapatan yang diperoleh tidak seberapa tetapi terpaksa mengeluarkan perbelanjaan lebih untuk menjaga tanaman,” katanya.
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan negara ketika ini masih lagi dałam cuaca panas dan keadaan ini dijangka akan berlanjutan sehingga Ogos.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!