Perak di landasan tepat capai RM4.2 bilion pelaburan tahun ini

Saarani mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Negeri di Ipoh pada Jumaat. - Foto: ihsan NCER
Saarani mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Negeri di Ipoh pada Jumaat. - Foto: ihsan NCER
A
A
A

IPOH - Perak berada dalam landasan betul untuk memenuhi sasaran RM4.2 bilion pelaburan dengan mewujudkan 3,780 peluang pekerjaan yang diluluskan bagi tahun 2023.

Kerjasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan kerajaan negeri serta agensi pelaburan persekutuan dan negeri telah menarik sejumlah RM2.2 billion pelaburan diluluskan dengan peningkatan 24.3 peratus berbanding tahun 2022.

Peningkatan itu mewujudkan sebanyak 3,816 pekerjaan diluluskan, meningkat 28.5 peratus berbanding tahun lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, prestasi pelaburan negeri amat memuaskan tahun lalu dengan beberapa sektor menunjukkan pertumbuhan kukuh.

"Terutamanya, sektor pertanian telah menjadi pemacu utama pertumbuhan, dengan pelaburan yang besar dalam pembangunan ekosistem rantaian nilai bekalan makanan di Negeri Perak. Sektor pelancongan juga menunjukkan daya tahan, dengan keindahan alam semula jadi dan tarikan budaya negeri ini terus menarik pengunjung," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) di sini pada Jumaat.

Terdahulu, Saarani mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Negeri di Bilik Gerakan Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.

Menurut Saarani, kerajaan negeri optimis dengan prospek ekonomi negeri dengan pelaburan berterusan dalam sektor pertumbuhan utama dan pembangunan industri baharu seperti ekonomi digital dan gig bagi tahun ini.

Sementara itu, Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan berkata, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang bergantung kepada bakat tenaga mahir dan berkebolehan adalah kritikal untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi negeri.

Tambahnya, NCIA telah memperkenalkan pelbagai program modal insan untuk meningkatkan kemahiran bakat tempatan.

"NCIA telah melaksanakan beberapa program untuk menyokong PKS dan meningkatkan kemahiran bakat selaras dengan Pelan Pembangunan Strategik NCER (SDP 2021-2025) dan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).

"Program Dana Usahawan (DU@NCER) menyediakan bantuan pembiayaan kepada PKS untuk membantu mengembangkan perniagaan mereka.

"DU@NCER ialah dana pemangkin yang direka sebagai 'tipping point' untuk PKS Bumiputera meneroka pelaburan baharu atau pembangunan perniagaan yang memfokuskan kepada sektor industri teras di NCER," katanya.

Mohamad Haris berkata, NCIA turut melaksanakan usahawanNCER yang direka sebagai program holistik dan komprehensif.

"UsahawanNCER menyasarkan untuk membantu perusahaan mikro dan PKS mengurangkan kos menjalankan perniagaan dengan perkongsian strategik bersama bank tempatan. Seramai 5,144 peserta telah mendapat manfaat daripada program ini, tahun lalu.

"NCIA juga telah bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan memulakan Projek Lata Kinjang, Tapah. Inisiatif ini bertujuan untuk menangani kemiskinan dalam kalangan masyarakat Orang Asli dengan membawa aktiviti ekonomi ke dalam komuniti selain meningkatkan kemahiran masyarakat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!