Seludup dadah ke Australia: JKDM kemuka laporan kepada PM

Zazuli (kiri) pada sidang akhbar di Kompleks Pencegahan Negeri Pulau Pinang pada Jumaat.
Zazuli (kiri) pada sidang akhbar di Kompleks Pencegahan Negeri Pulau Pinang pada Jumaat.
A
A
A

BUTTERWORTH - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah mengemukakan laporan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kes penyeludupan dadah bernilai RM789.56 juta melalui Pelabuhan Klang ke Brisbane, Australia.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Zazuli Johan berkata, laporan berkenaan dihantar 3 Mei lalu, namun ia belum lengkap kerana pihaknya memerlukan maklumat lanjut daripada Pasukan Sempadan Australia (ABF) berhubung kes itu.

Menurutnya, setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat berhubung kes berkenaan dan pihaknya percaya Malaysia hanya menjadi lokasi transit sebelum dadah berkenaan dibawa ke Australia.

"Pihak ABF perlu mendapatkan kebenaran daripada kementerian berkaitan di negara mereka sebelum memberikan sebarang maklumat daripada kita.

"Mengikut maklumat awal yang diterima, dadah berkenaan dibawa dari negara segi tiga emas (golden triangle) dan kita akan menjalankan siasatan lanjut mengenai perkara ini," katanya ketika sidang akhbar di Kompleks Pencegahan Negeri Pulau Pinang, di sini pada Jumaat.

Sebelum ini, kerajaan memberikan tempoh maksimum dua minggu kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi mengemukakan laporan penuh kejadian penyeludupan dadah bernilai RM789.56 juta melalui Pelabuhan Klang ke Brisbane, Australia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kejadian itu menunjukkan wujudnya kelemahan dalam sistem kerajaan yang sepatutnya mampu mengesan kegiatan berkenaan, namun gagal.

Jelasnya, kerajaan memandang serius kejadian berkenaan dan mengarahkan siasatan terperinci dilakukan agensi penguatkuasaan, termasuk memastikan perkara itu tidak berulang pada masa depan.

Media sebelum ini, melaporkan pihak berkuasa Australia merampas 336 kilogram (kg) heroin dianggarkan bernilai AUD268.8 juta (RM789.56 juta) dalam sebuah kontena penghantaran dari Malaysia ke Brisbane, 13 Mac lalu.

Polis Persekutuan Australia (AFP) dalam kenyataan minggu lalu, berkata, Pasukan Sempadan Australia (ABF) berjaya mengesan dadah berkenaan disorok dalam dua blok konkrit simen, yang masing-masing seberat 500 kilogram.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!