Kerani rugi RM140,000 diperdaya Miss Rina

Ahmad Adnan
Ahmad Adnan
A
A
A

TELUK INTAN - Seorang kerani di sebuah syarikat swasta kerugian hampir RM140,000 selepas terpedaya tawaran kerja sambilan secara dalam talian di sini sejak April lepas.

Wanita berusia 26 tahun dari Langkap itu dikatakan menerima satu pesanan di aplikasi WhatsApp melalui nombor 011-63706329 memperkenalkan diri sebagai Miss Rina dengan beberapa tawaran kerja sambilan yang membolehkannya memperoleh wang komisen mengikut tugasan dilakukan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa yang menyatakan minat dengan tawaran itu telah dimasukkan dalam satu group telegram atas nama LCX Task Group 21 sebelum diberi penerangan tugasan.

Menurutnya, mangsa dijanjikan wang komisen antara 10 hingga 20 peratus bagi tugasan kerja dinyatakan termasuk perlu melayari akaun Shopee dengan memilih barangan mengikut jumlah harga dinyatakan.

"Hasil melakukan beberapa kali tugasan tersebut, mangsa telah membuat 13 kali pembayaran secara dalam talian kepada empat institusi kewangan swasta dengan jumlah keseluruhan RM139,616.50 bermula tarikh 26 April sehingga 5 Mei lepas.

"Mangsa diminta untuk memasukkan lagi wang tambahan kononnya bagi mendapatkan semula jumlah penuh wang yang telah dimasukkan, namun tidak melakukannya kerana menyedari tertipu," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Mangsa telah membuat laporan polis berhubung perkara itu pada Khamis.

Ahmad Adnan berkata, statistik kes melibatkan tipu tawaran kerja sambilan menunjukkan peningkatan sejak tahun lepas.

Ujar beliau, sepanjang 2022 sebanyak lapan kes direkodkan dengan kerugian RM133,207 manakala bagi Januari hingga Mei tahun ini, lapan kertas siasatan telah dibuka membabitkan RM267,729.42.

"Kebanyakan mangsa berusia 20 hingga 40 tahun yang mencari pendapatan tambahan dengan mudah yang dilihat di laman sosial.

"Masyarakat dinasihati agar tidak mudah terpengaruh dengan cara mendapatkan pendapatan melalui komisen daripada orang perantaraan dalam transaksi jual beli dalam talian seperti ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!