Paras air empangan Selangor masih selamat, terkawal
SHAH ALAM - Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengesahkan semua empangan di negeri itu berada pada paras selamat untuk kegunaan semasa tempoh musim panas dan kering pada Jun depan.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Ir Abas Abdullah berkata, situasi paras semasa semua empangan pada Khamis berada dalam keadaan yang memuaskan iaitu simpanan takungan melebihi 90 peratus.
Menurutnya, empat daripada sembilan empangan termasuk Kolam Takungan Air Pinggiran Sungai (ORS) juga berkapasiti penuh.
"Berdasarkan tinjauan cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) terkini, kapasiti simpanan air semua empangan termasuk ORS dijangkakan masih berada dalam keadaan selamat dan terkawal pada musim panas dan kering Jun depan.
"Berdasarkan kepada unjuran yang dibuat, Air Selangor menjangkakan semua empangan masih boleh mengekalkan paras selamat semasa tempoh tersebut," katanya kepada Sinar Harian.
Tambah beliau, Air Selangor bersama agensi-agensi yang berkenaan sentiasa memantau dan akan mengambil langkah-langkah awal bagi mengawal dan memastikan sumber air mentah adalah mencukupi.
"Selain daripada itu, pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) juga telah mengenal pasti kolam-kolam bekas lombong yang telah diwartakan sebagai sumber air mentah alternatif yang boleh diaktifkan sebagai sokongan kepada empangan dan ORS bagi mengelakkan sebarang catuan air.
"Air Selangor ingin menggalakkan semua pengguna agar menggunakan air secara berhemah dan berjimat cermat bagi mengelakkan pembaziran," katanya.
Monsun Barat Daya dijangka bermula Isnin depan dan berterusan sehingga September tahun ini dengan kelembapan udara lebih rendah.
Sepanjang tempoh tersebut, bilangan hari tanpa hujan lebih banyak dan fenomena jerebu boleh berlaku sekiranya pembakaran terbuka tidak terkawal.
Pada Selasa, simpanan air Empangan Air Itam, di Pulau Pinang pula dilapor hanya mampu bertahan untuk 40 hari, manakala Empangan Teluk Bahang pula (146 hari) susulan cuaca panas yang sedang melanda negara ketika ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!