Ringgit menyusut lagi hari ini
Pada jam 6 petang, mata wang tempatan itu susut kepada 4.4765/4835 berbanding dolar AS daripada 4.4615/4665 yang disaksikan semalam.
Terdahulu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan ekonomi Malaysia merekodkan pengembangan sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama 2023 selepas didorong oleh perbelanjaan sektor swasta.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, dolar AS mendapat manfaat daripada status selamatnya di tengah-tengah drama siling hutang Amerika Syarikat (AS) yang telah meletakkan kerajaan AS berisiko dalam membayar hutangnya.
"(Drama itu) memberi gambaran bahawa risiko keingkaran oleh kerajaan AS telah meningkat sekiranya mereka memutuskan untuk tidak menaikkan siling hutang sebelum tamat tempoh (had hutang) menjelang 1 Jun depan.
"Sehubungan itu, pasaran mata wang berkemungkinan berdepan kehindaran risiko dan permintaan terhadap mata wang selamat itu perlu dikuasai," katanya kepada Bernama.
Pada penutup, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia merosot berbanding euro kepada 4.8839/8915 daripada 4.8751/8805 dan turun berbanding yen Jepun kepada 3.3233/3290 daripada 3.3122/3161 sebelumnya.
Ia lebih tinggi berbanding pound Britain pada 5.6082/6169 berbanding 5.6161/6224 sebelum ini.
Pada masa sama, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asean.
Ia menokok berbanding baht Thailand kepada 13.1658/1922 daripada 13.2283/2482 dan mengukuh kepada 3.3552/3609 berbanding dolar Singapura daripada 3.3588/3628 sebelumnya.
Ringgit jatuh berbanding rupiah Indonesia kepada 303.4/304.1 daripada 302.9/303.5 semalam dan melemah berbanding peso Filipina kepada 8.02/8.04 daripada 8.00/8.01. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!