Pemandu jentolak maut disengat tebuan tanah
KULIM - Seorang pemandu jentolak maut akibat disengat tebuan tanah yang terdapat pada jentera itu dalam kejadian di Kampung Sidam Kanan dekat sini pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.35 petang itu, mangsa Muhammad Sazwan Marzuki, 28, mengadu sakit di bahagian kepalanya akibat disengat serangga terbabit sebelum dibawa ke Hospital Kulim.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd Redzuan Salleh berkata, bagaimanapun mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Mohd Redzuan berkata, polis di Balai Polis Padang Serai menerima laporan dibuat keluarga mangsa.
“Hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai sedang mengendalikan jentolak yang lama tidak digunakan sekali gus tidak menyedari terdapat sarang tebuan tanah di jentera tersebut.
"Selepas disengat tebuan, mangsa dibawa oleh abangnya ke sebuah klinik di Taman Jaya Padang Serai sebelum dihantar ke Hospital Kulim dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!