Hilang kawalan punca bas rempuh 12 kenderaan

A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Hilang kawalan dipercayai menjadi punca sebuah bas melanggar 12 kenderaan sehingga menyebabkan kesesakan teruk di lebuh raya antara Terowong Menora menuju Kuala Kangsar pada petang Jumaat.

Kejadian sekitar jam 4.30 petang itu berlaku di Kilometer 256.8 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara semasa bas membawa 12 penumpang terbabit dalam perjalanan dari Klang menuju Simpang, Taiping.

Nahas bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Baktiar Yaacob berkata, ketika kejadian, lalu lintas bergerak perlahan dan bas berkenaan yang berada di lorong kiri cuba membrek ketika melepasi selekoh di kawasan menurun, namun gagal.

"Bas itu terus merempuh belakang sebuah kereta jenis Proton Saga yang berada di hadapan laluannya sebelum menyeret dan melanggar tiga kenderaan di lorong kanan.

"Pelanggaran seterusnya melibatkan tujuh lagi kenderaan yang berada di lorong kiri laluan," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, semua kenderaan terlibat iaitu 10 kereta dan dua pacuan empat roda antaranya jenis Peugeot, Mercedes, Honda City dan Toyota masing-masing mengalami kerosakan calar serta remuk di bahagian depan dan belakang.

Katanya, laporan awal mendapati, hanya pemandu kereta Proton Saga berusia 54 tahun tersepit dalam kenderaan, namun berjaya dikeluarkan anggota bomba.

"Semua penumpang bas selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan, pemandu kenderaan lain yang terlibat juga tidak cedera.

"Pemeriksaan air kencing terhadap pemandu bas berusia 37 tahun telah dibuat dan mendapati keputusan negatif.

"Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Twitter @Plustrafik dalam ciapannya pada jam 5.53 petang memberitahu, kemalangan menyebabkan kesesakan hampir 10 kilometer.

Kedua-dua lorong terpaksa ditutup sementara untuk kerja-kerja pengalihan.

Insiden selesai sekitar jam 6.57 petang dengan semua lorong telah dibuka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!