Haiqal raih pingat gangsa 100 meter

Haiqal dan Khairul Hafiz ketika beraksi pada acara 100m lelaki akhir Sukan SEA 2023 di Stadium Nasional Morodok Techo pada Jumaat.
Haiqal dan Khairul Hafiz ketika beraksi pada acara 100m lelaki akhir Sukan SEA 2023 di Stadium Nasional Morodok Techo pada Jumaat.
A
A
A

BEKAS raja pecut Sukan SEA, Muhammad Haiqal Hanafi merangkul gangsa bagi acara 100 meter (m) lelaki pada edisi 2023.

Saingan akhir acara riben biru di Stadium Nasional Morodok Techo menyaksikan Muhammad Haiqal dan seorang lagi wakil negara, Khairul Hafiz Jantan yang masing-masing belari di lorong keempat dan kelima bermula dengan baik apabila mendahului kelompok peserta lain.

Bagaimanapun, pelari Thailand, Soraoat Dapbang dan wakil Singapura Marc Brian Louis secara tiba-tiba berjaya memintas mereka pada jarak 50m terakhir sekali gus menyaksikan mereka terlepas peluang memperoleh dua kedudukan tertinggi podium.

Soraoat dinobatkan sebagai raja pecut baharu Asia Tenggara dengan catatan 10.37 saat (s) dan hanya dibezakan dengan 0.02s untuk mengatasi Marc Brian, yang merekodkan 10.39s.

Namun rezeki ternyata memihak Muhammad Haiqal, yang juga juara edisi 2019 di Manila, untuk membawa pulang gangsa selepas mencatat 10.443s berbanding Khairul Hafiz yang merekodkan masa 10.448s pada hari terakhir olahraga pada temasya sukan dwitahunan kali ini.

Dalam pada itu, dua wakil negara bagi acara 100m wanita, Zaidatul Husniah Zulkifli dan Nur Aishah Rofina Aling, tidak berupaya membawa pulang pingat selepas masing-masing sekadar memperoleh tempat keempat dan ketujuh.

Zaidatul mencatat 11.83s manakala Nur Aishah pula merekodkan 12.12s.

Wakil Singapura, Veronica Shanti Pereira muncul ratu pecut baharu Sukan SEA dengan mencatat 11.41s diikuti peserta Thailand, Supanich Poolkerd untuk perak (11.58s) dan gangsa menjadi milik pelari Vietnam, Thi Nhi Yen Tran (11.75s). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!