Lebih 15,000 rakyat Kelantan sambut kehadiran PM
KOTA BHARU - Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di Kelantan disambut meriah lebih 15,000 pengunjung di pekarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini, malam ini.
Ramai yang mengambil kesempatan untuk bersalaman dan berswafoto dengan pemimpin nombor satu negara itu, di samping turut mendekati dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof yang hadir sama.
Turut hadir ialah Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Kira-kira 14 jenis juadah disajikan kepada orang ramai pada majlis itu seperti lauk kambing, sate, lemang, ketupat, rendang, pelbagai jenis masakan mi dan laksa, kuih-muih dan sebagainya.
Suasana kemeriahan itu turut diceriakan dengan persembahan hiburan muzik dan lagu-lagu bertemakan Hari Raya Aidilfitri.
Selain Kelantan, Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri sebelum ini telah diadakan di Kedah pada 29 April, Pulau Pinang (6 Mei), serta Negeri Sembilan (7 Mei), manakala di Terengganu ia akan diadakan esok (13 Mei) dan Selangor (14 Mei). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!