Taekwondo sumbang dua emas, dua perak
SKUAD taekwondo menceriakan kontinjen negara apabila menyumbang dua pingat emas dalam acara poomsae pada Sukan SEA Kemboja 2023 di Pusat Konvensyen Chroy Changvar, Phnom Penh pada Jumaat.
Nur Humaira Abdul Karim mencipta kejutan apabila mengungguli acara poomsae individu wanita selepas mengutip 7.430 mata, mengatasi pencabarnya dari Singapura Diyanah Aqidah Muhammad Dian Khudhairi (7.260) di tempat kedua manakala wakil tuan rumah Kanithyda meraih gangsa (7.090).
Kejayaan Nur Humaira itu kemudian membakar semangat kakaknya, Nurul Hidayah yang bergandingan dengan Jason Loo bagi merangkul emas dalam acara berpasangan campuran selepas mengumpul 7.550 mata.
Vietnam yang mengumpul mata sama dengan Malaysia meraih pingat perak manakala Filipina di tempat ketiga selepas meraih 7.500 mata.
Ia juga kejayaan berganda bagi pasangan adik-beradik itu apabila mereka turut memenangi pingat perak dalam acara berpasukan wanita bersama seorang lagi wakil negara Lim Jia Wei dengan 7.700 mata di belakang pasukan Filipina (7.720) manakala gangsa milik Thailand (7.660).
Chin Ken Haw melengkapkan episod cemerlang skuad negara pada hari pertama acara taekwondo dipertandingkan dengan meraih pingat perak dalam acara individu lelaki selepas mengutip 7.380 mata.
Pingat emas acara berkenaan dimenangi peserta Filipina Patrick King Perez yang mengumpul 7.460 mata sementara atlet tuan rumah Chhorn Kimhak meraih gangsa dengan 7.360 mata.
Ketika ditemui pemberita, Nur Humaira yang pertama kali bersaing dalam acara individu, berkata, dia tidak menjangka dapat meraih emas dalam kategori itu kerana sasarannya adalah bagi acara berpasukan wanita.
"Setelah terlepas pingat emas dalam acara berpasukan wanita, jurulatih beritahu saya supaya buat yang terbaik dan saya bersyukur dapat meraih emas dalam acara individu. Alhamdulillah... saya ada rezeki dalam acara individu," katanya.
Atlet berasal dari Bintulu, Sarawak itu juga bersyukur pengorbanannya berbaloi yang terpaksa meninggalkan lebih sebulan pengajian dalam Pengurusan Sukan di Universiti Malaya selain menyambut Aidilfitri di Korea Selatan kerana menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi temasya ini.
Pada edisi Vietnam 2021 tahun lalu, Nur Humaira meraih gangsa dalam acara berpasukan wanita. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!