PRN: Rundingan kerusi lancar, beberapa negeri capai tahap 90 peratus
KOTA BHARU - Proses rundingan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri berjalan lancar setakat ini, kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, terdapat beberapa negeri yang sudah pun mencapai sehingga 90 peratus rundingan dan dijangka selesai sedikit masa lagi.
"Minggu lepas kita ada mesyuarat dihadiri pimpinan utama parti dan mendengar segala persiapan dan status agihan kerusi... pada pertengahan bulan ini, pimpinan pusat akan meneliti senarai (calon) dan akan memulangkan semula kepada pihak negeri, saya optimis segalanya mampu diselesaikan sebelum pengumuman pembubaran (Dewan Undangan Negeri).
"Mana-mana parti (dalam Kerajaan Perpaduan) yang sudah ada penyandangnya di sesuatu kawasan, parti lain tidak akan bertanding, kawasan yang akan ditandingi adalah kawasan yang dimenangi Pas atau Bersatu,” katanya.
Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Jelajah Ikon Madani dan Sesi Motivasi Bersama Tokoh Besar di Universiti Malaysia Kelantan di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin), Datuk Aizuddin Ghazali dan Ikon Madani, usahawan selebriti, Zoey Rahman.
Enam negeri yang akan menghadapi PRN ialah Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!