Enam nelayan warga Thailand dicekup kes dadah
KUALA TERENGGANU- Enam nelayan warga Thailand dicekup selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dan penagihan dadah dalam serbuan di jeti nelayan Kampung Pulau Duyong, di sini semalam.
Keenam-enam suspek yang berusia antara 27 hingga 55 tahun itu ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, jam 12 tengah hari.
Ketua JSJN negeri Superintendan Roslan Tahir berkata, serbuan dan pemeriksaan dijalankan ke atas sebuah kapal dipercayai milik rakyat tempatan yang berlabuh di jeti berkenaan.
"Terdapat enam lelaki warga Thailand dipercayai nelayan berada atas bot itu sebelum pemeriksaan tubuh badan mereka dijalankan.
"Pemeriksaan seterusnya menjumpai satu beg di atas lantai bot yang berisi sebotol plastik lut sinar bertudung kuning berisi serbuk warna putih disyaki dadah jenis heroin, berat kasar 3.45 gram," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Roslan berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis methamphetamine dan morfin.
Jelasnya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1) (a) ADB 1952.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!