KKD teliti pasang internet satelit di 200 kampung di Kelantan

Fahmi Fadzil - Foto Bernama
Fahmi Fadzil - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sedang meneliti pemasangan internet satelit di 200 kampung seluruh Kelantan agar penduduk kawasan berkenaan dapat manfaat rangkaian internet yang lebih baik.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, kesemua perkampungan berkenaan adalah kawasan yang sukar diakses kerana terletak di luar bandar atau pedalaman.

"Sebelum kita buat ikhtiar atau program kita mesti buat kajian rapi bagi memastikan penyelesaian itu sesuai dengan manfaat tempat berkenaan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Agihan Bakul Makanan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Jalan Kelochor di sini pada Jumaat.

Justeru beliau berkata, pihaknya akan mengkaji semula model internet satelit di beberapa lokasi luar bandar yang digunakan sebelum ini bagi memastikan kesesuaiannya.

Sementara itu, Fahmi berkata, pihaknya akan memastikan rakyat menerima maklumat tepat melalui media arus perdana sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

"Secara am prinsip demokrasi, rakyat berhak mendapat maklumat. Kita akan teliti dan mengambil kira kesesuaian serta ekspektasi apa yang rakyat inginkan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, tidak sepatutnya wujud dakwaan pihak tertentu kononnya kerajaan persekutuan meminggirkan negeri Kelantan.

"Mereka perlu mendengar sendiri bagaimana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyatakan sejumlah projek dan peruntukan yang diberikan khusus untuk memastikan pembangunan di negeri Kelantan berterusan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!