Arsenal tanpa Saliba
ARSENAL akan beraksi dalam misi menang semua baki perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) tanpa William Saliba menentang Brighton & Hove Albion di Stadium Emirates pada Ahad.
Biarpun begitu pengendali Arsenal, Mikel Arteta menegaskan pemain Perancis itu dan rakan pertahanan Oleksandr Zinchenko itu tidak diketepikan untuk baki musim ini.
“Dengan William, itu sudah pasti dia tidak akan cergas untuk perlawanan ini dan kami meragui sama ada dia juga akan bermain untuk perlawanan di Nottingham Forest.
“Tetapi kami mahu mengekalkan harapan dan memastikan pasukan memberi peluang terbaik untuk membawa mereka kembali,” kata Arteta kepada ketika ditanya mengenai status kecederaan kedua-dua pemain tersebut.
Laporan awal sebelum ini menunjukkan kedua-duanya akan terlepas baki kempen sekali gus satu tamparan buat The Gunners yang dalam perebutan gelaran EPL dengan pendahulu dan penyandang juara serta pasukan pilihan Manchester City.
Saliba dikeluarkan dari skuad utama sejak Mac kerana kecederaan belakang manakala Zinchenko disisihkan semasa separuh masa kedua berikutan masalah betis ketika Arsenal menang 2-0 ke atas pasukan tangga ketiga Newcastle United di Stadium St James'Park hujung minggu lalu.
Arsenal berbaki tiga perlawanan dan ketinggalan satu mata di belakang Manchester City, yang mempunyai satu perlawanan dalam tangan dan berada di kedudukan peneraju sejak menewaskan kelab utara London itu, 4-1 di Etihad pada 26 April lalu.
Namun anak buah Arteta mula kembali mempamerkan keputusan positif dalam perlawanan menentang Chelsea dan Newcastle yang mengembalikan semula harapan bekas pembantu Pep Guardiola di Manchester City itu.
"Setiap kali anda menang, setiap kali anda bermain dengan baik, setiap kali anda berasa seperti anda bersaing pada tahap yang diperlukan untuk memenangi liga ini, ia memberi anda harapan baharu.
"Sejujurnya ia bukan dalam tangan kami dan pada Ahad, kami pastinya perlu berada pada tahap terbaik sekali lagi dan cuba memenangi perlawanan. Jika kami memenangi perlawanan, kami akan menjadi lebih dekat.
"Ada tiga perlawanan lagi, ini adalah perlawanan paling penting dan sekarang kami mahu menewaskan mereka dan meningkatkan harapan dan semangat untuk meneruskannya kerana segala-galanya masih perlu dimainkan dengan tenang sehingga hujung musim," kata Arteta.
Mengulas mengenai tugasan pengendali The Seagulls, Roberto De Zerbi dan kakitangannya, Arteta berkata, mereka
telah melakukan tugas yang luar biasa dan menjangkakan pasukan pelawat akan menjadi lawan yang sangat sukar.
Sebagai rekod, Arsenal menewaskan Brighton 4-2 di pantai selatan pada penghujung Disember selepas tewas 3-1 pada pusingan ketiga Piala Liga di Emirates, November lalu.
LIGA PERDANA INGGERIS
SABTU (13 MEI)
Leeds United lwn Newcastle United, 7.30 malam
Southampton lwn Fulham, 10 malam
Chelsea lwn Nottingham Forest, 10 malam
Aston Villa lwn Tottenham Hotspur, 10 malam
Manchester United lwn Wolves, 10 malam
Crystal Palace lwn Bournemouth, 10 malam
AHAD (14 MEI)
Everton lwn Manchester City, 9 malam
Brentford lwn West Ham United, 9 malam
Arsenal lwn Brighton, 11.30 malam
SELASA (16 MEI)
Leicester City lwn Liverpool, 3 pagi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!