Pemuda UMNO akan bentang resolusi pada konvensyen Kerajaan Perpaduan
JASIN - Pemuda UMNO Malaysia akan membawa resolusi yang dikemukakan oleh beberapa sayap negeri dan bahagiannya untuk dibawa dalam Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Ahad.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, resolusi itu dikumpul dan akan digarapkan bersama kompenan parti lain untuk mencari resolusi terbaik buat sayap pemuda Kerajaan Perpaduan ketika ini.
"Setakat ini kita telah peroleh lebih lima resolusi untuk dibentangkan dalam Konvensyen Pemuda Kerajaan Perpaduan pada sebelah pagi sebelum dibawa ke Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan.
"Namun tidak semestinya kita ambil semua resolusi yang diserahkan, bagaimanapun kita akan duduk menilai dan memuktamadkannya pada konvesyen itu nanti," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di sini malam tadi.
Hadir memeriahkan sambutan rumah terbuka itu ialah Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Mengulas lanjut, Muhamad Akmal berkata, resolusi itu juga sudah pasti bermatlamat memperkukuh lagi kerjasama semua sayap pemuda dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini.
Konvensyen itu turut melibatkan sayap pemuda parti gabungan Kerajaan Perpaduan daripada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan Parti Ikatan Demokratik (MUDA).
Dalam pada itu, mengulas laporan media semalam mengenai kenyataan Ketua Armada Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengenai Perikatan Nasional (PN) sedia ‘talkinkan' UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Muhammad Akmal berkata, orang politik terutamanya golongan muda perlu bersikap progresif dan matang.
"Dalam politik pada hari ini kita jangan bersikap sombong dengan rakyat, bukan mengenai parti lain 'talkinkan' parti lain tetapi hari ini rakyat sudah muak dengan permainan politik, kita perlu bercakap tentang idea cara untuk membantu rakyat," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!