Nik Abduh jumpa Anwar, tiada kaitan jadi calon

Perjumpaan bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh (kiri) dan Nik Omar dengan Anwar di Kota Bharu pada Jumaat tiada kaitan untuk menjadi calon pada PRN.
Perjumpaan bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh (kiri) dan Nik Omar dengan Anwar di Kota Bharu pada Jumaat tiada kaitan untuk menjadi calon pada PRN.
A
A
A

KOTA BHARU - Perjumpaan bekas ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini pada Jumaat tiada kaitan untuk menjadi calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Sumber memberitahu, pertemuan itu lebih bersifat biasa sambil 'ngeteh' selain meraikan kedatangan pemimpin nombor satu negara ke negeri ini.

“Dia (Anwar) mari rumah kita, ada peluang nak jumpa, dia (Anwar) bagi peluang nak jumpa, kita jumpa.

“Tiada kaitan langsung dengan PRN. Tiada...percayalah,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Dalam perkembangan lain, ketika diminta mengulas mengenai kehadiran Nik Omar yang dilihat turut sama berada disamping Nik Mohamad Abduh sumber memberitahu beliau hanyalah secara kebetulan.

"Apa yang berlaku hanyalah kebetulan...ketika Nik Abduh bertemu dengan Perdana Menteri, abangnya (Nik Omar turut) ada bersama.

“Bila masa mereka bergaduh, adik-beradik tidak pernah bermusuh. Biasalah kalau komen politik,” ujarnya.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan dua keping gambar Nik Mohamad Abduh ‘duduk’ bersama Anwar tular di media sosial.

Turut hadir dalam perjumpaan tersebut ialah abangnya, Nik Omar, penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin serta Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pelbagai spekulasi tercetus susulan tularnya gambar Nik Mohamad Abduh bersama pemimpin Pakatan Harapan (PH) tersebut.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu, Pas menggugurkan Nik Mohamad Abduh sebagai calon parti itu dan kerusi yang ditandingi sebelum ini diberikan kepada Muhamad Shahir Che Sulaiman.

Nik Mohamad Abduh dan Nik Omar sebelum ini dilihat tidak 'sekepala' susulan kedua-duanya memilih haluan politik berbeza.

Nik Omar sebelum ini mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan pemimpin Pas susulan bertindak menyertai Parti Amanah Negara (Amanah).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!