Perak sedia laksana larangan guna beg plastik, polistirena
BATU GAJAH - Kerajaan Perak sedia meneruskan pelaksanaan larangan penggunaan beg plastik dan polistirena di negeri ini sepertimana pernah dicadangkan pada 2017 lalu.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, satu kajian telah dimulakan bagi tujuan pelaksanaan itu mengambil kira beberapa aspek agar dapat diterima baik semua peringkat terutama dalam kalangan peniaga.
"Perkara ini pernah dibangkitkan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK) dan kita dapati kerajaan negeri belum mempunyai sebarang dasar lagi bagi pelaksanaannya.
"Jadi saya akan berbincang dengan Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim bagi memastikan dasar berkenaan dapat dirangka sama ada untuk mengurangkan atau sampai satu tahap melarang penggunaan bahan-bahan yang kurang mesra alam seperti beg plastik dan polisterin," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Eco Green Market anjuran Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) di Pasar Awam Batu Gajah di sini pada Sabtu.
Sandrea berkata, larangan penggunaan beg plastik dan polisterin bertepatan dengan hasrat Kerajaan Persekutuan yang menyasarkan sifar penggunaan beg plastik menjelang tahun 2025.
Katanya, di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), inisiatif seperti kempen mengurangkan penggunaan beg plastik telah digerakkan lebih awal dengan sebahagiannya mendapat sambutan yang baik.
"Apabila kita hendak melarang penggunaan sesuatu bahan itu, apa alternatif yang ada dan bagaimana kita boleh bantu untuk sektor perniagaan dan juga orang awam menyesuaikan diri.
"Ini kerana walaupun sesuatu dasar itu diwujudkan dengan tujuan baik, jika terlalu menyusahkan masyarakat dan perniagaan mungkin akan mendapat tentangan atau kurang kerjasama orang ramai," katanya.
Perak sebelum ini pernah mengumumkan larangan penggunaan dua bahan itu mulai Jun 2017, namun ditangguhkan bagi dijalankan kajian menyeluruh terhadap pelaksanaannya.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad pada Selasa memaklumkan, kerajaan mengorak langkah memperluas Kempen Tiada Beg Plastik yang kini dilaksanakan di semua premis tetap kepada semua premis perniagaan secara beransur-ansur dalam tempoh 2022 hingga 2025.
Empat negeri telah menyatakan sokongan dengan melaksanakan kempen itu iaitu Selangor, Pulau Pinang, Johor, dan Negeri Sembilan.
Sementara itu, Eco Green Market telah dimulakan sejak 2017 menyasarkan konsistensi dalam pembudayaan amalan kitar semula termasuk mengambil kira keperluan asas komuniti untuk meringankan beban dan mengurangkan kos sara hidup.
Barangan kitar semula yang dibawa oleh komuniti akan ditukarkan dengan barangan keperluan harian (makanan) selain wang tunai yang kebiasaanya ditawarkan.
Yang Dipertua MDBG, Mohamad Razif Ramli berkata, sepanjang tempoh pelaksanaan sehingga Disember 2022, sebanyak 13 tan sisa kitar semula berjaya dikumpul.
"Jumlah ini tidak termasuk kutipan
sisa elektronik ataupun e-waste, MDBG telah memperoleh kejayaan ditempat kedua pada tahun 2021 dan tempat pertama bagi jumlah kutipan e-waste terbanyak dalam Perak pada 2022," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!