Anwar tegaskan tiada masalah dedahkan harta
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan beliau tiada masalah untuk mendedahkan segala hartanya yang didakwa diraih ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri, seperti yang diminta oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
Malah Ahli Parlimen Tambun itu menegaskan beliau adalah antara individu yang telah mengisytiharkan hartanya baru-baru ini bagi membuktikan ketelusan kepada rakyat.
"Saya antara orang yang isytihar harta, yang tidak dia (Tun Mahathir). Baru-baru ini pun, saya telah isytiharkan rumah berharga RM11 juta di Segambut.
"Jadi itu bukan rahsia, itu sudah diketahui umum," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Malaysia Madani di Dataran Merdeka, KL pada Sabtu.
Isnin lepas, Dr Mahathir bukan sahaja mencabar Anwar mendedahkan segala hartanya itu malah mendakwa pengerusi Pakatan Harapan itu sebagai seorang daripada pemimpin lama yang turut dituduh membantu kroni. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!