Cuaca panas: Bekalan makanan negara masih mencukupi
PASIR PUTEH - Bekalan makanan dalam negara setakat ini masih mencukupi walaupun negara dilanda cuaca panas.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perkara itu berikutan cuaca dikaitkan dengan fenomena El-Nino tersebut masih di peringkat awal.
“Kita masih bergantung kepada stok yang ada termasuk bekalan ikan, daging dan hasil pertanian.
“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagaimanapun akan terus memantau dan membuat kajian mengenai situasi ini dari semasa ke semasa supaya bekalan tidak terjejas,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Jalinan Mesra Madani bersama Nelayan Tok Bali di Pelabuhan Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, kementerian itu juga belum menerima sebarang laporan berkaitan, namun akan terus berjaga-jaga kerana cuaca panas dijangka sehingga Ogos.
“Belum ada nelayan atau petani yang terkesan dengan cuaca panas. Mereka masih boleh bekerja tetapi perlu ada perlindungan daripada terkena cahaya matahari secara terus.
“Saya nasihatkan kepada petani, nelayan dan penternak supaya menjaga kesihatan dan mengambil langkah berjaga-jaga ketika turun ke lapangan bagi mengelak masalah kesihatan,” katanya.
Sementara itu, Mohamad berkata, peruntukan sebanyak RM600,000 sudah diluluskan bagi pembinaan tiga lokasi unjam di Kelantan iaitu di bawah Persatuan Nelayan Kelantan Tumpat, Bachok dan Kota Bharu yang akan memberi manfaat kepada 3,785 nelayan.
“Sebuah projek naik taraf dan baik pulih infrastruktur jeti di Kuala Kemasin, Bachok juga diluluskan dengan peruntukan berjumlah RM200,000 dan akan memberi manfaat kepada 150 nelayan dengan 80 bot.
“Selainnya, pembinaan kilang ais Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) di Pasir Putih berkapasiti 200 tan metrik yang bernilai RM10 juta akan dapat membantu nelayan mendapatkan bekalan ais yang mencukupi dengan harga berpatutan sekali gus dapat memastikan kualiti ikan dapat dipelihara sebelum sampai kepada pengguna,” katanya.
Pada majlis itu, Mohamad turut menyampaikan Bantuan Sara Hidup Nelayan (ESHN) kepada 611 nelayan berjumlah RM183,300, bantuan pukat kepada 29 nelayan (RM20,200), Skim Tabung Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan kepada empat nelayan (RM1,500 setiap seorang) serta Geran Agropreneur Muda bernilai RM20,000 kepada nelayan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!