Pengasuh ditahan disyaki dera bayi
JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Seorang pengasuh ditahan kerana dipercayai mendera bayi lelaki berusia tujuh bulan ketika berada di bawah jagaannya di Taman Universiti, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa pada jam 4.30 pagi, Jumaat yang memaklumkan anaknya telah didera oleh wanita berusia 34 tahun itu.
Menurutnya, ibu mangsa percaya anaknya telah didera berdasarkan beberapa kesan lebam ditemui di badan bayi berkenaan.
"Ibu mangsa bersama suami telah membawa mangsa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) bagi mendapatkan rawatan pada jam 10.15 pagi.
"Hasil pemeriksaan pegawai perubatan mendapati terdapat beberapa kesan lebam di tubuh badan mangsa. Mangsa kini dalam keadaan stabil dan ditahan di HSA untuk pemerhatian lanjut," katanya.
Beliau berkata, susulan laporan yang dibuat ibu mangsa, polis telah menahan suspek di rumahnya di sekitar Taman Universiti pada hari yang sama.
Bagaimanapun katanya, siasatan awal yang dilakukan, suspek menafikan telah mendera mangsa.
"Suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai siasatan awal dijalankan," katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
Sebagai rekod, suspek pernah dituduh di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membabitkan penderaan seorang kanak-kanak lain pada 2021 dan kes itu masih dalam proses perbicaraan di mahkamah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!