Sukan SEA: KOM tak puas hati olahraga gagal tepati sasaran
HANYA lima bukan 10 seperti ‘digembar-gemburkan’ sebelum ini.
Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) ternyata tidak berpuas hati susulan prestasi kem olahraga negara yang gagal mencapai sasaran 10 emas ditetapkan pada Sukan SEA 2023.
Presidennya, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata harapan membawa pulang 10 emas yang diletakkan sebelum ini dibuat berdasarkan prestasi semasa atlet negara sebelum mereka turun berjuang di bumi Kemboja.
Walaupun prestasi olahraga negara menghampakan, Shahidan tetap bersyukur langkah KOM mempertaruhkan sejumlah muka baharu adalah satu tindakan tepat sehinggakan mereka berjaya membawa pulang pingat waima gangsa sekali pun.
"Jika tidak dapat gangsa mungkin saya rasa kurang menyeronokkan tapi bila dapat pingat itu membuktikan pendedahan pertama di Sukan SEA kepada atlet muda adalah berjaya,” katanya.
Selain lima emas, saingan olahraga yang menutup tirainya semalam menyaksikan Malaysia membawa pulang tiga perak dan 12 gangsa.Pencapaian membawa pulang lima emas yang dilakar skuad olahraga itu sekali gus menyamai pencapaian pada Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam.
Di Kemboja, tiga atlet negara, Grace Wong (tukul besi wanita), Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera lelaki) dan Andre Anura Anuar (lompat kijang lelaki) menampilkan prestasi cemerlang dengan mempertahankan emas dimenangi masing-masing.
Tatkala tumpuan lebih diberikan kepada jaguh 400m wanita negara, Shereen Samson Vallabouy yang menepati ramalan menjuarai acara tersebut, pelari lelaki berusia 20 tahun, Umar Osman ternyata membuat kejutan menggondol emas pada penampilan pertamanya di temasya sukan dwitahunan tersebut.
Malah pemuda dari Kluang, Johor itu mencatat 46.34 saat (s) pada saingan berlangsung di Stadim Nasional Morodok Techo sekali gus sudah cukup baginya memecahkan rekod kebangsaan 400m lelaki hampir 22 tahun oleh Mohd Zaiful Zainal Abidin, 46.41 saat (s) dalam Kejohanan Olahraga Asia Junior di Brunei pada Julai 2001.
Kejayaan dilakar Umar menyaksikan beliau menamatkan kemarau emas selama 14 tahun yang kali terakhir dimenangi Zafril Zuslaini pada edisi 2009 di Vientiane, Laos.Shereen pula kembali meletakkan Malaysia pada kedudukan tertinggi podium acara 400m wanita di pentas Sukan SEA selepas N. Manimagalay kali terakhir memenanginya pada edisi 1999 di Brunei.
Bukan itu sahaja, kuartet lelaki berjaya menamatkan kemarau 10 tahun tanpa sebarang pingat dengan membawa pulang gangsa semalam.
Kuartet dibarisi Umar, Abdul Wafiy Roslan, Muhammad Firdaus Mohamad Zemi dan S. Tarshan merekodkan masa tiga minit dan 08.82 saat (s) untuk merangkul gangsa, sekali gus menyamai pencapaian Malaysia yang kali terakhir memenangi pingat acara tersebut pada edisi 2013 di Myanmar. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!