Terlelap sejenak, 'King' rempuh lima kenderaan
KAJANG - Lima buah kenderaan yang diparkir di Jalan TTDI Groove 1/2, di sini dirempuh sebuah kereta, pada Selasa lalu selepas pemandunya terlelap sejenak atau ‘microsleep’.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kemalangan itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 9 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu kereta Perodua Myvi berusia 34 tahun itu dalam perjalanan dari Jalan TTDI Groove 1/1 menghala ke rumahnya di Taman Jelok Indah selepas membuat kerja penghantaran barang.
"Sebaik tiba di Jalan TTDI Groove 1/2, pemandu terbabit mengalami ‘microsleep’ lalu termasuk ke laluan bertentangan.
"Perodua Myvi itu terlanggar lima kenderaan di petak parkir sebelum serpihan kenderaan terbabit telah terkena pada seorang pekerja pembersihan yang sedang menyapu di jalan berhampiran,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, pekerja pembersihan terbabit telah dibawa ke Hospital Kajang untuk mendapatkan rawatan.
Katanya, semua pemilik kenderaan terbabit selesai membuat laporan pada jam 4 petang, hari yang sama.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang awam diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu," ujarnya.
Tambahnya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu di boleh menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!