Lembu sado mandi lebih kerap pada musim panas

Adanal perlu memandikan lembu sado miliknya lebih banyak berbanding kebiasaan sepanjang musim panas ini.
Adanal perlu memandikan lembu sado miliknya lebih banyak berbanding kebiasaan sepanjang musim panas ini.
A
A
A

TEMERLOH - Musim panas ketika ini menyebabkan pengusaha ternakan lembu hibrid atau lebih dikenali lembu 'sado' lebih kerap memandikan haiwan tersebut.

Pengusaha ternakan itu, Adanal Ahmad, 59, dari Kampung Sungai Kepong dekat Lanchang di sini memberitahu, musim panas menyebabkan haiwan itu kurang selesa berbanding kebiasaan.

"Dua atau hingga tiga kali saya akan mandikan lembu-lembu ini di kandang," kata Adanal kepada Sinar Harian.

Ujarnya, setakat ini sebanyak 10 ekor lembu sado dipeliharanya bermula tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu iaitu pada 2020.

"Selain Limousine, baka lain yang ada di sini termasuk Charolais dan Blond dan selebihnya lembu biasa.

"Paling berat sehingga satu tan dan buat masa ini, ada beberapa ekor sudah matang dan sedia untuk dijual," tambahnya.

Lembu sado yang sudah matang dan sedia dijual sempena korban.
Lembu sado yang sudah matang dan sedia dijual sempena korban.

Ditanya sempena kedatangan Aidiladha tahun ini, dia memberitahu, sudah ada beberapa individu membuat tinjauan.

"Masih belum ada pembeli mungkin masih awal lagi dan kita tunggu menjelang raya korban nanti," jelas Adanal.

Sementara itu, dia yang juga mengusahakan tanaman napier di kampung terbabit mengakui musim panas menjejaskan tanaman berkenaan yang menjadi makanan utama lembu-lembu miliknya.

Musim panas juga menyebabkan tanaman napier perlu kerap disiram untuk mengelakkan ia mati dan rosak.
Musim panas juga menyebabkan tanaman napier perlu kerap disiram untuk mengelakkan ia mati dan rosak.

"Saya lebih menggunakan napier kerana ia lebih banyak mengandungi protein selain dedak sebagai makanan tambahan.

"Ada juga yang mati dan ini menyebabkan ia perlu kerap disiram pada musim panas ini hingga tiga kali sehari," jelasnya yang menanam napier di ladang miliknya seluas kira-kira 0.8 hektar di kampung tersebut.

Ujar Adanal, setiap hari sebanyak 14 hingga 15 kilogram napier diperlukan sebagai makanan untuk setiap ekor lembu.

"Untuk tempoh matang napier, selama 45 hingga 60 hari diperlukan sebelum dipotong untuk diproses menjadi makanan ternakan.

"Jadi sepanjang musim panas ini, pengusaha seperti saya perlu lebih peka dan banyak sikit kerja perlu dilakukan," tambah dia lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!