Kilauan gangsa pada hari terakhir acara berbasikal

Nur Aisyah Zubir mengakhiri saingan di tempat ketiga acara lebuh raya individu wanita yang berlangsung di Angkor Wat, sebentar tadi. - Foto Ihsan MSN
Nur Aisyah Zubir mengakhiri saingan di tempat ketiga acara lebuh raya individu wanita yang berlangsung di Angkor Wat, sebentar tadi. - Foto Ihsan MSN
A
A
A

SKUAD berbasikal lebuh raya negara menutup tirai kayuhan penuh bergaya apabila pelumba harapan, Nur Aisyah Mohammad Zubir menghadiahkan pingat gangsa dalam acara lepas beramai-ramai elit wanita pada Sukan SEA 2023 di Siem Reap hari ini.

Pencapaian itu sekali gus menyaksikan kem Malaysia mencatat sejarah unik apabila pelumba negara berjaya menaiki podium empat kali dengan kejayaan merangkul satu pingat emas, satu perak dan dua gangsa menerusi acara kriterium dan lepas beramai-ramai elit lelaki serta wanita.

Pada perlumbaan sejauh 100.4 kilometer di laluan Angkor Wat itu, terletak kira-kira 320 kilometer dari bandar ini, Nur Aisyah yang mencatat masa 2 jam 48 minit 39 saat mencetuskan keresahan di kem negara apabila dilihat hampir sama tiba di garisan penamat bersama pelumba Indonesia, Magh Firotika Marenda.

Perlumbaan itu juga menyaksikan kejutan selepas pelumba Pro Tour dari Vietnam, Nguyen Thi That mengetepikan tonggak pilihan dari Thailand, Jutatip Maneephan yang dianggap hampir pasti membawa pulang pingat emas ke negara Gajah Putih, dengan kedua-duanya turut mencatat masa 2:48:39s.

Dengan purata kelajuan 35.72kmj, perlumbaan itu bermula dengan sangat perlahan kerana semua pelumba sangat berhati-hati dan dilihat menyimpan tenaga ke garisan penamat rentetan terpaksa berkayuh dalam cuaca panas mencecah 39 darjah Celsius.

Saingan bertambah sengit pada baki 15km perlumbaan apabila pelumba pilihan dari Vietnam, Thailand, Malaysia, Singapura dan Indonesia mula saling mencongak percaturan menuju ke garisan penamat.

Nur Aisyah mengakui agak terperanjat dengan kejayaannya merangkul dua pingat gangsa menerusi acara kriterium dan lepas beramai-ramai elit wanita, namun pelumba kelahiran Kuala Terengganu itu percaya pencapaian itu bukan secara kebetulan.

"Ia dicapai menerusi satu usaha dan kerjasama berpasukan yang sangat baik. Semua pelumba bekerjasama dengan baik dan patuh kepada arahan serta strategi jurulatih. Saya percaya kejayaan merangkul dua gangsa bukan satu kebetulan,” katanya.

Jurulatih skuad wanita negara, Amir Mustafa Rusli pula menegaskan kejayaan membawa pulang dua pingat gangsa pada Sukan SEA 2023 memberi petanda pelumba wanita sudah memperagakan peningkatan ketara.

"Saya juga melihat pelumba wanita banyak belajar daripada skuad elit lelaki. Mereka belajar cara taktikal dan bagaimana hendak mengawal perlumbaan. Saya gembira dengan perkembangan ini,” katanya.

Pengurus pasukan skuad negara, Norazman Abu Samah pula berkata kejayaan menaiki podium sebanyak empat kali menandakan satu era kebangkitan baharu pada kem lebuh raya elit lelaki dan wanita Malaysia.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pelumba, jurulatih, mekanik dan masseur kerana bekerjasama dengan baik untuk mencapai sasaran ditetapkan,” katanya. - Bernama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!