'Hadiah hari lahir terbaik'

Khir Tong (kiri) bersama Zi Le (kanan) yang bakal menerima kad pengenalan diri nanti ketika ditemui pemberita di Limbong Kapal, pada Sabtu.
Khir Tong (kiri) bersama Zi Le (kanan) yang bakal menerima kad pengenalan diri nanti ketika ditemui pemberita di Limbong Kapal, pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang pemuda yang tidak mempunyai kad pengenalan di Limbong Kapal, di sini, kini mampu menarik nafas lega apabila bakal menerima dokumen pengenalan diri.

Pembantu peniaga, Tan Zi Le, 21, berkata, dia menganggap dokumen pengenalan diri akan diterima itu sebagai hadiah hari lahir terbaik yang akan disambutnya pada 16 Mei ini.

Zi Le berkata, dia kini mampu mengejar impiannya untuk mendapatkan pekerjaan lebih baik selepas ini.

"Saya gembira dan seronok, ia hadiah saya paling besar untuk ulang tahun kelahiran ke-21 beberapa hari lagi.

"Disebabkan ketiadaan kad pengenalan, saya berdepan beberapa kesukaran. Saya hendak buat apa-apa pun tidak boleh, nak buka akaun bank sukar, hendak ambil lesen memandu pun tidak boleh," katanya ketika ditemui pemberita di Limbong Kapal, di sini, pada Sabtu.

Bagaimanapun, nasib dialami Zi Le mendapat perhatian Penasihat Hal ehwal Pendaftaran Negara dan Imigresen kepada Datuk Seri Michaels Chong Ketua Jabatan Pengaduan Awam MCA Kebangsaan, Ooi Khir Tong hingga pemuda itu akhirnya bakal memperolehi kad pengenalan diri.

Zi Le berkata, dia sebelum ini hanya mampu bekerja menjual aksesori telefon di sebuah rumah kerana tidak memiliki kad pengenalan.

"Sebelum ini, saya hendak bekerja pun sukar sebab kena ada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sebagainya, namun dengan adanya kad pengenalan, maka saya boleh cari pekerjaan lebih baik," katanya.

Sementara itu, Khir Tong memberitahu, dia turut gembira apabila mendapat berita baik dari pemuda itu bahawa telah menerima surat dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) bahawa permohonan warganegara Malaysia telah diluluskan.

Menurutnya, pemuda itu tidak mempunyai kad pengenalan kerana semasa kelahirannya ibu bapa tidak memiliki sijil perkahwinan.

"Bapanya merupakan warganegara namun ibunya adalah warganegara Myanmar, yang mana ibunya kemudian pulang ke negara asalnya," katanya.

Tambah beliau, keluarga terbabit telah cuba memohon dokumen pengenalan sejak lelaki itu berusia 10 tahun namun tidak berhasil sehingga kes ini sampai ke pengetahuannya.

Kata Khir Tong, beliau yang pernah berkhidmat dengan KDN telah meminta beberapa dokumen berkaitan untuk membolehkan dia menghantar permohonan itu ke KDN dan Menteri Dalam Negeri pada September tahun lepas.

"Selepas menunggu selama tujuh bulan, hasrat pemuda itu untuk menjadi seorang warganegara Malaysia akhirnya telah tercapai," katanya.

Menurut beliau, sehingga kini, pihaknya telah berjaya menyelesaikan banyak kes seumpama itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!