Sesi percubaan Akademi JDT dapat sambutan luar biasa
[DIKEMAS KINI] KELAB Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) tampil menjelaskan mengenai insiden yang berlaku ketika sesi percubaan Akademi JDT di Pusat Latihan Junior kelab itu di Padang Mawar pada Jumaat.
Ia selepas tular satu video luahan seorang bapa yang mempertikaikan sesi pemilihan tersebut tidak diurus dengan baik sehingga menyebabkan ada kanak-kanak yang tidak dapat bermain.
Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards berkata, kehadiran peserta untuk sesi percubaan itu di luar jangkaan dan kelab mengakui kesal kerana tidak dapat mengawal kehadiran luar biasa tersebut.
"Akademi JDT menjalankan beberapa sesi percubaan dalam setahun untuk bakat-bakat yang telah dikenalpasti oleh barisan peninjau bakat di seluruh Malaysia.
"Sebelum ini sesi percubaan hanya diadakan secara tertutup, namun percubaan semalam dibuka kepada beberapa peringkat umur.
"Bagaimanapun, kehadiran adalah diluar jangkaan kerana ramai yang hadir untuk mendapatkan peluang menjadi sebahagian daripada satu-satunya akademi kelab bola sepak yang profesional sepenuh masa di negara ini.
"Kami kesal kerana kami tidak dapat mengawal kehadiran luar biasa ini jika dibandingkan dengan sesi percubaan sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Difahamkan ada kanak-kanak yang hadir seawal 6.30 pagi dan terpaksa menunggu sehingga ke petang selain didakwa kebanyakan daripada mereka dikatakan tidak berpeluang untuk menonjolkan bakat mereka di atas padang.
Dalam pada itu, Alistair berjanji JDT akan mengadakan lebih banyak sesi percubaan selepas ini dan akan terus menghantar pencari bakat ke semua kejohanan remaja, bukan sahaja di Johor tetapi di seluruh negara bagi memastikan tidak ada bakat yang ketinggalan.
"Akademi JDT menawarkan kepada yang terpilih latihan bola sepak profesional, pendidikan dan tempat tinggal.
"Antara pemain yang muncul dari pelatih Akademi JDT ke skuad senior termasuk Arif Aiman Hanapi, Ramadhan Saifullah, Feroz Baharudin dan K Daryl Syam," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!