Pelajar jatuh sungai ditemukan lemas
TELUK INTAN - Pelajar lelaki tingkatan dua yang dilaporkan terjatuh Sungai Perak berhampiran jeti Kampung Terengganu di sini, ditemukan lemas pada Sabtu.
Mayat V Johnson, 14, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat sekitar jam 4.45 petang.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mayat mangsa ditemukan terapung kira-kira 60 meter dari tempat mangsa dilaporkan hilang.
"Waris telah mengesahkan identiti mangsa setelah pengecaman dibuat.
"Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik, Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat," katanya.
Sinar Harian melaporkan seorang pelajar lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Perak pada Jumaat.
Beg dan pakaian mangsa ditemukan orang awam di jeti berkenaan sekitar jam 7.30 malam sebelum melaporkan kepada polis.
Operasi mencari dan menyelamat dilakukan merangkumi radius pencarian 7 kilometer melibatkan pasukan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan orang tempatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!