Sindiket curi, seludup kenderaan keluar negara lumpuh

Polis menahan enam lelaki di sekitar Lembah Klang dan Bentong, Pahang, baru-baru ini untuk siasatan kes curi kenderaan.
Polis menahan enam lelaki di sekitar Lembah Klang dan Bentong, Pahang, baru-baru ini untuk siasatan kes curi kenderaan.
A
A
A

SUBANG JAYA - Polis melumpuhkan sindiket curi kenderaan dan seludup keluar negara susulan tangkapan enam individu di sekitar Lembah Klang dan Bentong, Pahang, baru-baru ini.

Hasil risikan, kesemua tangkapan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian D4 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menerusi operasi Op Lejang TFH bermula Rabu hingga awal pagi Khamis.

Difahamkan, kesemua tangkapan membabitkan enam lelaki tempatan berusia lingkungan 35 hingga 50 tahun.

Menurut sumber, polis telah merampas dua buah kenderaan jenis Toyota Hilux dan Toyota Altis dianggar bernilai RM100,000.

"Turut dirampas ialah peralatan-peralatan curi kenderaan.

"Kesemua suspek kini direman empat hari sehingga Ahad ini," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Sumber berkata, siasatan mendapati sindiket ini menjalankan kegiatan curi kenderaan khususnya model Honda serta Toyota.

Tambahnya, dipercayai sindiket ini aktif di sekitar Lembah Klang, Pahang, Johor dan Pulau Pinang.

"Kenderaan yang dicuri ini dipercayai diletakkan di tempat terpencil sebelum diambil oleh suspek lain untuk dihantar ke sempadan negara sebelum dipasarkan ke negara jiran.

"Kegiatan ini juga bagi memenuhi pasaran alat ganti terpakai dalam negara," ujarnya.

Sementara itu, Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan tangkapan terbabit.

Tegasnya, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Pada Rabu, JSJ Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan talian hotline 019-3764763 bagi membolehkan masyarakat mengemukakan sebarang aduan berkaitan jenayah khususnya judi, pelacuran, gangsterisme, penyeludupan manusia, kontraban dan lain-lain jenayah bersindiket.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!