'Aisyah bungkus baju buang ke luar rumah' - Ibu
KOTA BHARU - Seorang ibu tidak menyangka kelakuan pelik anak orang kurang upaya (OKU) yang membungkus semua baju dan membuang ke luar rumah menjadi petanda ajal rentung bersama abangnya dalam kebakaran rumah mereka di Kampung Gertak Kechupu, Mentuan dekat sini.
OKU sindrom Down itu, Aisyah Ab Halim, 22, dan abangnya, Muhammad Huzaifah Ab Halim, 31, yang dipercayai mempunyai masalah kemurungan maut dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam pada Jumaat.
Ibu mereka, Robiah Ismail, 59, berkata, Aisyah yang juga anak bongsu daripada tujuh beradik itu mengumpulkan semua baju lama dan baharu sebelum membuang ke keluar rumah mereka selama dua hari berturut-turut sebelum maut dalam kebakaran tragis berkenaan.
“Saya segera kutip semua baju-bajunya dan membawa masuk semula ke dalam rumah. Sebelum ini dia tak pernah berkelakuan sedemikian.
“Tak sangka pula rupanya baju-baju itu kali terakhir dipakai oleh Aisyah,” katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gertak Kechupu, Mentuan pada Sabtu.
Menurut guru mengaji al-Quran itu, Aisyah gemar membaca al-Quran terutama ketika dia mengadakan kelas mengajar kanak-kanak dan orang dewasa lain yang datang ke rumah untuk belajar.
“Buat masa ini saya menumpang di rumah jiran yang juga anak saudara bagi memudahkan kelas mengaji al-Quran diteruskan.
“Saya bersyukur kerana upacara pengebumian kedua-dua anak saya ini sudah selesai dan reda dengan kejadian ini,” katanya yang kelihatan tabah dan masih mengukir senyuman.
Sebelum itu, jenazah kedua beradik berkenaan disembahyangkan di Masjid Al-Ikhsan Mukim Mentuan dan selesai disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gertak Kechupu selepas solat Asar.
Dalam kejadian itu, Aisyah sempat dilihat menjenguk ke luar jendela dan melambaikan tangan meminta pertolongan namun tidak dapat diselamatkan kerana api marak sebelum mayat kedua-duanya ditemui rentung masing-masing di ruang tamu serta tandas oleh anggota bomba ketika memadam kebakaran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!